Bimbang risiko tebing bukit batu kapur terus berulang

Bimbang risiko tebing bukit batu kapur terus berulang

SIAPAKAH yang akan bertanggungjawab sekiranya tebing batu kapur runtuh dan membawa kecelakaan? – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SETELAH satu lagi kemalangan berlaku di destinasi pelancongan berdekatan bukit kapur di Ipoh pada 8 April lalu, saya terdorong untuk mengutarakan kebimbangan tentang risiko keselamatan yang dirasakan tidak diambil serius oleh pihak berkuasa tempatan.

Setiap laporan berita yang menceritakan kemalangan seperti yang berlaku di Ipoh baru-baru ini, kebimbangan saya terhadap keselamatan keluarga dan pengunjung lain semakin meningkat, terutamanya apabila insiden sebegini telah berulang beberapa kali, terutamanya di Perak.

Dalam kes terbaharu ini, walaupun Kerajaan Negeri Perak mengambil langkah menutup sementara kawasan yang terjejas untuk penilaian pakar, soalan yang timbul adalah, kenapa langkah-langkah yang diambil sering bersifat reaktif? Lebih-lebih lagi, amat menghairankan apabila risiko landskap ini sudah pun lama diketahui, namun tiada langkah proaktif yang diambil kerana masih terdapat tempat pelancongan, kuil-kuil, rumah setinggan, malah ada juga pembinaan yang masih diteruskan di persekitaran landskap ini.

Risiko yang wujud sememangnya diakui dan pihak berkuasa masih berada pada tahap ‘penilaian, perundingan dan perbincangan’. Setiap kali insiden seperti ini berlaku, saya rasakan pihak berkuasa terlalu mengambil kira sensitiviti komuniti perniagaan, kaum atau agama yang mempunyai ‘kepentingan’ di kawasan berkenaan dan tidak mengutamakan keselamatan ataupun risiko kehilangan nyawa.

Tidakkah ini mencerminkan kelalaian dan kecuaian yang serius untuk memastikan keselamatan awam? Walaupun beberapa malapetaka yang melibatkan runtuhan tebing batu kapur, namun tindakan serius tidak diambil untuk menghentikan pembangunan di kawasan berkenaan atau memaksa mereka yang tinggal dalam kawasan berbahaya ini berpindah.

Saya menyeru pihak berkuasa untuk memberi keutamaan kepada keselamatan awam dan komuniti setempat agar jangan lagi membuang masa dengan ‘perundingan’ kerana sudah terdapat banyak kajian dan pendapat pakar dilaporkan oleh pihak media yang jelas memberi olahan bahawa risiko runtuhan batu kapur amat jelas dan nyata.

Malah, terdapat banyak kuil dan tapak kebudayaan yang masih bertempat di landskap ini yang dibiarkan beroperasi oleh kerajaan tempatan. Walaupun mahkamah telah memutuskan mereka tidak mempunyai hak untuk menduduki kawasan berkenaan, mereka tetap berdegil dan tidak mahu berpindah.

Apa yang mengejutkan saya apabila membaca laporan media selepas keputusan mahkamah, adalah pihak berkuasa tempatan masih lagi mahu ‘berunding’ tentang perkara ini atas alasan sensitiviti komuniti dan mungkin keagamaan. Persoalannya, siapakah yang akan bertanggungjawab sekiranya tebing batu kapur di situ runtuh dan membawa kecelakaan?

Amat penting untuk orang awam memahami risiko tinggi landskap bukit batu kapur. Kejadian-kejadian seperti tragedi Banjaran Hotsprings atau Gunung Cheroh telah beberapa kali berulang. Akhirnya berita tentang kejadian-kejadian ini hilang begitu sahaja, sehinggalah tragedi seterusnya berlaku. Di manakah akauntabiliti dan ketelusan dalam menangani risiko keselamatan yang melibatkan landskap batu kapur?

Walaupun formasi batu kapur menawarkan landskap yang menakjubkan, namun kerajaan tempatan tidak boleh leka dan lalai dalam mengambil tindakan untuk menangani risiko yang jelas dan nyata. Perhatian serius wajib menjadi keutamaan tanpa terlalu merisaukan kehilangan populariti dalam kalangan penduduk tempatan.-UTUSAN

AZLINA DIN
Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN