SAUDARA PENGARANG,
PENGGUNAAN bahasa rojak sudah tentu menjejaskan reputasi bahasa Melayu. Pencemaran bahasa pusaka menunjukkan bahawa masyarakat mempunyai identiti bahasa yang tidak stabil. Keadaan ini akan menyebabkan kemerosotan dan kehilangan kualiti, nilai dan ciri utama bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Lama-kelamaan, beberapa ciri bahasa pusaka akan hilang dan digantikan oleh ciri bahasa asing. Sekiranya gejala ini terus berlaku, bahasa rojak akan perlahan-lahan melenyapkan harga dan keramat bahasa pusaka. Gejala ini akan mengurangkan keupayaannya sebagai bahasa rasmi dan fungsinya sebagai bahasa kebangsaan.
Generasi muda kini merupakan golongan paling ramai menggunakan aplikasi-aplikasi dalam alam maya berbanding lapisan umur yang lain. Generasi ini sudah tentu perlu diselami cara, gaya dan perspektif menggunakan alam maya mengikut horizon kehidupan mereka sendiri. Oleh demikian, pelbagai inisiatif perlu diatur dalam penggunaan media sosial demi penerapan minat generasi muda yang lebih efisien terhadap kepentingan dan kesedaran bahasa Melayu sebagai bahasa pusaka yang berkeramat.
Antara cara penerapan minat dan kesedaran pengguna-pengguna alam maya dengan mewujudkan komuniti bahasa Melayu atas talian. Ini demi memupuk sikap membaca dan membina kesedaran tentang pentingnya menjaga keramat bahasa pusaka daripada dirancu. Inisiatif ini boleh dilaksanakan melalui medium seperti Telegram, X, Whatsapp, Reddit atau Instagram.
Kaedah ini sangat efisien untuk menyebarkan bahan bacaan, perkongsian, fakta-fakta menarik dalam bahasa Melayu secara ringkas mahupun kompleks dengan teknik yang santai tetapi bermaklumat. Terdapat juga pelajar-pelajar yang mengharapkan komunikasi di dunia media sosial sebagai medium ilmu bahasa untuk mempelajari bahasa Melayu. Sayang seribu kali sayang jika bahasa Melayu dirancukan dalam diskusi antara penyampai dan pendengar.
Perkembangan dunia teknologi berkembang pesat telah menjadikan media sosial sebagai lubuk aneka ikhtiar pihak-pihak seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mahupun institusi-institusi pengajian tinggi tempatan, pempengaruh atau sesiapa sahaja yang mengetahui akal dan budi generasi muda untuk menghasilkan kandungan mengenai bahasa Melayu, bahana bahasa rojak dan sebagainya.
Selain itu, pertandingan seperti Sayembara Bahasa Melayu peringkat negeri, Seni Coret Jawi, pertandingan video pendek, karya digital atau Eksplorasi Bahasa juga wajar dianjurkan. Lebih-lebih lagi, terdapat peningkatan trend wawancara, rakaman audio atau podcast di aplikasi YouTube atau Spotify. Pihak-pihak yang arif tentang bahasa Melayu juga boleh adakan audio siar dan di siarkan di Spotify atau segmen di radio.
Keramat bahasa pusaka perlulah dijaga khazanahnya daripada dirancu sama ada di alam maya mahupun dalam komunikasi seharian. Penularan istilah-istilah bahasa rojak dalam aplikasi media sosial perlulah dikawal daripada awal supaya frasa atau maksud ayat tidak salahertikan di samping dapat mengekalkan ketulenan keramat bahasa Melayu itu sendiri.
Kesedaran tentang pemeliharaan dan pemuliharaan bahasa kebangsaan juga perlu diperkukuh dan diketengahkan khususnya kepada generasi muda yang banyak menggunakan istilah-istilah baharu.
Dengan adanya langkah-langkah bersepadu dan kerjasama semua pihak, kita mampu menyelamatkan bahasa pusaka berkeramat ini daripada kerancuan dan hilang dari muka bumi bertuah ini, selari dengan kata pujangga, takkan hilang Melayu di mata dunia.-UTUSAN
NUR ZAHIRAH
AISYAH BOSTAMAM
Mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia










