Belia berjaya bukan pembuli di sekolah

Belia berjaya bukan pembuli di sekolah

BELIA Malaysia yang hebat dan berjaya bukan menjadi pembuli semasa di sekolah atau di tempat kerja. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KITA sering dimomokkan membuli itu adalah perkara biasa terutama apabila memasuki asrama, sekolah atau tempat baharu. Buli perlu ada untuk meningkatkan sifat hormat junior kepada senior. Buli dapat membentuk sahsiah yang baik dan mengajar tentang disiplin hormat menghormati orang yang lebih tua.

Buli perlu dilaksanakan setiap tahun, ia perlu dilakukan secara berhemah tanpa melibatkan kecederaan yang serius sehingga boleh menyebabkan kematian. Jadi sifat membuli perlu ada terutama kepada golongan yang lebih lemah dari kita atau bahasa mudah golongan yang lembik seperti junior yang baru nak up.

Pelaksana dan pengurusan yang mengamalkan kaedah tradisional pula menganggap buli dapat membentuk belia yang kuat dan tidak lembik apabila disentuh dan dipukul akibat melakukan kesalahan di asrama dan sekolah seperti mencuri, merokok dan sebagainya.

Malang tidak berbau, apabila buli menyebabkan kematian, semua akan mengambil jalan mudah menuding jari kepada si pelaku yang melakukan aktiviti buli ini.

Untuk mengatasi masalah buli, pendekatan yang menyeluruh dan melibatkan pelbagai pihak adalah penting. Keperluan untuk meningkatkan kesedaran tentang bahaya dan kesan negatif perilaku buli melalui pendidikan dan program kesedaran di sekolah, rumah, tempat kerja, komuniti dan masyarakat adalah sangat penting. Ini termasuk memasukkan kurikulum anti-buli dalam pendidikan serta menganjurkan ceramah dan bengkel untuk pelajar, guru, kakitangan dan ibu bapa tentang akta dan undang undang buli. Tindakan membuli boleh dikenakan hukuman undang-undang, tambahan apabila menyebabkan kematian.

Pihak yang bertanggungjawab perlu mencipta persekitaran yang selamat dan inklusif di sekolah dan masyarakat. Ini melibatkan penguatkuasaan peraturan sekolah, tempat kerja yang jelas mengenai buli, serta memupuk budaya yang menghormati kepelbagaian dan menghargai setiap individu. Program pembangunan sosial dan emosi juga boleh membantu meningkatkan kemahiran interpersonal pelajar dan membina hubungan positif di kalangan mereka. Tindakan yang berlebihan boleh membawa padah kepada semua pihak. Umum mengetahui keperluan untuk bersikap saling hormat menghormati dan wasatiyyah dalam kehidupan.

Buli bukan budaya kita, belia Malaysia hebat dan berjaya bukan menjadi pembuli di sekolah atau tempat kerja. Budaya rakyat Malaysia adalah golongan yang berjaya sentiasa memberikan sokongan dan bantuan kepada insan yang lemah dan serba kekurangan.

Golongan ini perlu didengari, dilindungi dan disokong secara emosi dan praktikal. Sekolah dan tempat kerja perlu menyediakan saluran komunikasi terbuka bagi mangsa buli untuk melaporkan kepada mereka dan mendapatkan bantuan yang diperlukan. Dengan pendekatan holistik dan kerjasama semua pihak, kita dapat mengatasi masalah buli dan membentuk persekitaran yang lebih selamat dan inklusif untuk semua individu.

Untuk mencipta masyarakat yang berkarisma dan berkualiti, adalah penting untuk memberi perhatian kepada pendidikan, pembangunan kemahiran, kepemimpinan yang beretika, budaya kreativiti dan inovasi, keadilan dan kesetaraan serta penghargaan terhadap kepelbagaian budaya.

Dengan mengambil langkah-langkah ini, masyarakat dapat membentuk persekitaran yang membolehkan pertumbuhan individu secara menyeluruh dan pembangunan komuniti yang inklusif. Akhir kata, dengan hikmah kita teroka. – UTUSAN

DR. HADAFI FITRI MOHD LATIP
Pensyarah Kanan Sekolah Pendidikan
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×