Usah abai anak-anak walaupun sudah bercerai

Usah abai anak-anak walaupun sudah bercerai

PENTINGNYA anak-anak tidak rasa diabaikan dan sendirian walaupun ibu bapanya sudah tidak bersama-sama lagi. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KERETAKAN hubungan ibu bapa membuatkan sesebuah keluarga menjadi broken home yang mana keadaan tersebut memiliki pengaruh terhadap kesejahteraan psikologi anak-anak.

Anak yang berada dalam keluarga tersebut tentu tidak mudah untuk menjalankan kehidupan harian mereka kerana mereka berada dalam keadaan yang penuh dengan tekanan iaitu perlu menyesuaikan diri dengan lingkungannya dan mengalami perubahan-perubahan pada diri dan kehidupan mereka.

Terdapat banyak kesan dan impak kepada anak-anak antaranya tidak memiliki motivasi atau semangat untuk belajar, hilang fokus semasa belajar, kurang kasih sayang dan gangguan mental.

Antara cara mengatasi masalah ini adalah melalui co-parenting iaitu ibu bapa yang sudah bercerai tetap bersama-sama mengasuh dan membesarkan si kecil meskipun sudah tidak ada ikatan pernikahan.

Dari lubuk hati anak itu masih mahu bersama ayah dan ibunya. Oleh itu, ibu bapa harus menurunkan ego mereka supaya mereka boleh bersama-sama membesarkan anak-anak mereka.

Walaupun hak penjagaan anak jatuh kepada ibu, ini tidak bermakna bapa boleh terlepas daripada tanggungjawab untuk menunaikan tanggungjawabnya. Peranan bapa masih diperlukan dalam membina asas keyakinan diri dan peranan ibu adalah untuk membina nilai-nilai teras dalam diri seorang anak.

Kedua, keadaan rumah tangga yang hancur membuatkan anak cenderung untuk memendam perasaan. Untuk meningkatkan kesihatan mental, galakkan mereka meluahkan perasaan mereka dan berikan masa anak anda meluahkan apa yang dia rasa. Jangan menghakimi perasaannya, berikan dia dorongan dan sokongan.

Walaupun anak itu akan hidup dalam keluarga yang tidak lagi bersatu, ini tidak bermakna anak itu tidak lagi mendapat perhatian. Bina semula keakraban dengan anak-anak supaya mereka tidak berasa kehilangan. Fahami bahasa kasih sayang anak-anak, apa yang mereka perlukan itulah yang mesti ibu bapa berikan.

Walaupun sukar untuk berbaik semula dengan bekas pasangan, ibu bapa mesti mempunyai pengaruh yang baik terhadap emosi anak-anak mereka. Jangan sebarkan kebencian dengan menceritakan perkara yang tidak baik tentang pasangan, akibatnya anak itu akan rasa trauma untuk memilih pasangan hidup pada masa hadapan. Dia juga akan merasa tidak yakin dengan orang baharu dan membenci ibu bapanya sepanjang hayatnya.

Adalah penting juga untuk mendapatkan bantuan profesional seperti ahli psikologi atau pakar psikiatri. Bantuan profesional bukan sahaja berguna untuk anak, tetapi juga untuk ibu bapa.

Sebagai contoh, mengatasi kehilangan keyakinan diri boleh menjadi satu langkah yang sukar untuk ibu bapa dan anak-anak. Oleh itu, selain daripada mendapat sokongan daripada orang yang paling rapat, mendapatkan sokongan daripada profesional kesihatan mental adalah sesuatu yang penting dan anak akan belajar mengatasi perasaan negatif dan mampu mengelola emosi.

Setiap permasalahan mempunyai jalan penyelesaian. Keruntuhan rumah tangga juga mempunyai solusi untuk mengatasinya dan membuatkan anak-anak tidak rasa diabaikan dan sendirian walaupun ibu bapanya sudah tidak bersama-sama lagi. Jika seseorang berhadapan dengan mereka yang memiliki broken home, berikan mereka semangat dan sokongan untuk mereka melanjutkan hidup mereka dengan lebih baik kelak. – UTUSAN

WAN NUR ‘AIN NABILA WAN MOHD ZAIN
Universiti Sains Islam Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN