Tidak puas hati dengan KTM Komuter Utara

Tidak puas hati dengan KTM Komuter Utara

SEJAK akhir-akhir ini kelihatan permasalahan masa komuter yang lewat dan kerap kali rosak memberikan satu tekanan kepada pengguna. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

IZINKAN saya untuk memaklumkan ketidakpuasan hati berkenaan perkhidmatan KTM Komuter Sektor Utara. Saya tidak pasti siapa yang harus dipertanggungjawabkan berkenaan permasalahan ini. Adakah ia di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ataupun Perbadanan Aset Keretapi (RAC). Namun, perkara ini perlu mendapat perhatian segera daripada pihak yang berwajib.

Umum mengetahui bahawa perkhidmatan KTM Komuter Sektor Utara telah memulakan operasinya pada 2015. Bermula dari tarikh itulah, ramai pengguna mula menggunakan perkhidmatan ini.

Stesen kereta api yang sebelum ini sunyi sepi telah ‘dihidupkan’ kembali dan menjadi lebih sibuk dengan wujudnya perkhidmatan ini. Kemudahan ini telah memberi kelegaan terutamanya kepada para pekerja yang berulang-alik setiap hari dari Perlis dan Pulau Pinang dan sebaliknya.

Ramai pengguna menyatakan rasa syukur dan berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana berjaya mewujudkan perkhidmatan ini sekali gus berjaya memendekkan waktu perjalanan. Saya merupakan salah seorang daripada ratusan ribu pengguna dan pekerja jarak jauh yang telah menggunakan perkhidmatan ini hampir lapan tahun. Diawal perkenalan perkhidmatan ini, kelewatan sekali sekala adalah boleh diterima dan dianggp normal. Pengguna sangat memahami permasalahan ini tanpa ada sebarang rungutan.

Namun, sejak akhir-akhir ini kelihatan permasalahan masa komuter yang lewat dan kerap kali rosak memberikan satu tekanan kepada pengguna. Setelah hampir 10 tahun perkhidmatan KTM Komuter Sektor Utara beroperasi, pelbagai masalah yang dihadapi oleh pengguna.

Jadual perkhidmatan yang kerap kali lewat, komuter berhenti secara tiba-tiba, kepadatan pengguna dan masalah penghawa dingin yang rosak membuatkan pengguna berasa resah dan tidak selesa.

Disebabkan masalah inilah ada yang menyebabkan lewat hadir ke pejabat, terlepas pesawat di Pulau Pinang, terlepas proses temuduga dan pelbagai masalah lain yang dihadapi. Kita tidak memohon untuk mengurangkan harga tiket tetapi kita cuma memohon untuk kurangkan masalah seperti yang dinyatakan diatas.

Sepatutnya, setelah hampir 10 tahun perkhidmatan ini diperkenalkan akan menjadi lebih efisien dari segi masa dan keselesaan namun perkara sebaliknya berlaku. Sehubungan dengan itu, saya mengharapkan kerajaan terutamanya Kementerian Pengangkutan mengambil berat isu ini.

Janganlah diuar-uarkan perkhidmatan ini telah menjadi bertaraf dunia sedangkan pelbagai isu yang remeh temeh tidak berjaya diselesaikan lagi. Sesungguhnya kemudahan yang disediakan kepada rakyat adalah bertujuan untuk memudahkan dan bukan untuk menyusahkan.-UTUSAN

PENGGUNA KECEWA
Simpang Ampat, Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×