SAUDARA PENGARANG,
MASJID Jamek di Pengkalan Hulu menjadi masjid pertama di Perak yang melaksanakan larangan plastik sekali guna dan tiada makanan dan minuman dalam plastik.
Ahli jawatankuasa masjid berkenaan menganjurkan program kesedaran khas tentang bahaya penggunaan plastik sekali guna selepas mendapat nasihat dari Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Baru-baru ini, Sultan Nazrin berpesan agar tidak menggunakan plastik sekali guna dan tidak membenarkan pelajar menggunakan minuman dan makanan dalam botol plastik dan pembungkusan.
Plastik sekali guna mudah difahami. Ia merujuk kepada pembungkusan plastik yang tidak boleh digunakan semula dan mungkin atau tidak dikitar semula bergantung pada jenis bahan plastik. Antaranya, straw, kutleri plastik, beg plastik beli-belah, botol air plastik dan sebagainya. Ini kerana produk plastik ini menimbulkan bahaya kepada alam sekitar dan haiwan.
Penggunaan plastik tidak terbiodegradasi perlahan-lahan akan bertukar menjadi mikroplastik yang mendatangkan bahaya kepada hidupan marin. Ini kerana plastik mikro membebaskan bahan kimia toksik yang akhirnya berpindah ke atmosfera, hidupan tumbuhan dan tisu haiwan.
Jadi, kita perlu berubah dan ia perlu bermula dari rumah. Bermula hari ini, jangan gunakan beg membeli-belah yang diperbuat daripada plastik, sebaliknya gunakan beg kain atau beg kertas untuk membeli-belah.
Bawa kelalang teh atau kopi sendiri ke tempat kerja. Pergilah ke kedai kopi yang menyediakan cawan pakai buang boleh guna semula.
Selain itu, jangan beli botol air plastik sebaliknya gunakan botol kelalang.
Jangan sekali-kali membeli penyedut minuman plastik, sebaliknya beli straw jenis kertas dan tolak jika ditawarkan.
Sebagai individu, menjadi tanggungjawab kita untuk menjalani gaya hidup yang murni. Setiap orang harus mengambil perhatian tentang kepentingan alam sekitar dengan seboleh-bolehnya hanya menggunakan bahan kitar semula. – UTUSAN
N.V.SUBBAROW
Pegawai Pendidikan kanan
dan Pegawai Alam Sekitar CAP










