SAUDARA PENGARANG,
SEKTOR komoditi memainkan peranan yang penting dalam ekonomi negara melalui sumbangannya kepada pendapatan negara dan perolehan eksport serta mewujudkan peluang pekerjaan yang banyak. Sektor ini adalah pembekal utama makanan dan juga bahan mentah untuk industri berasaskan sumber.
Secara puratanya, sektor komoditi menyumbang sebanyak RM18.1 hingga RM24.4 bilion setiap suku tahunan dari suku tahun pertama 2019 sehingga suku tahun ketiga 2023.
Selari dengan peranan utamanya, kerajaan terus menerus mengambil langkah pelarasan bagi mempercepatkan daya saing sektor ini agar dapat membolehkannya menghadapi cabaran baharu pada tahap domestik dan antarabangsa.
Dalam usaha untuk melunaskan matlamat-matlamat yang telah digariskan, cabaran kini dan seterusnya adalah supaya produk komoditi ini mampu dinikmati pengguna. Namun, isu menjadi semakin kritikal kerana berdasarkan pemantauan harga purata agromakanan terpilih di peringkat runcit Semenanjung Malaysia mendapati kebanyakan komoditi mencatatkan peningkatan terutamanya bagi sayur jenis kekacang dan sayuran berbuah.
Data Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan juga merekodkan trend peningkatan harga purata barangan runcit harian dan ia mencecah tahap amaran kedua.
Senario kenaikan harga ini, jika diambil sambil lewa akan menghasilkan masalah yang besar kepada ekonomi Malaysia secara menyeluruh, seperti inflasi, penurunan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), penurunan kuasa beli pengguna, penurunan pendapatan benar pengguna, peningkatan jurang pendapatan negara, dan kelestarian ekonomi negara dan isi rumah. Dalam jangka panjang, boleh meningkatkan kadar kemiskinan tegar dan tahap jenayah di Malaysia.
Isu ini perlu diperhalusi dan kajian yang lebih serius serta lebih terperinci amat diperlukan agar kenaikan harga produk komoditi ini tidak menjadi lebih parah pada masa akan datang. – UTUSAN
Dr. Nor Salwati Othman
Jabatan Bisnes dan Pengurusan, UNITEN Business School (UBS),Universiti Tenaga Nasional (UNITEN)










