SAUDARA PENGARANG,
GAZA pada saat ini terus menjadi penjara terbuka terbesar di dunia. Tidak ada jalan keluar bagi penduduk Gaza untuk menyelamatkan diri. Laluan darat dan laut dikawal ketat oleh tentera rejim Zionis.
Harapan utama rakyat Gaza kini adalah jalan darat iaitu keluar melalui pintu sempadan Rafah yang terletak antara Palestin dan Mesir. Serangan Israel mengakibatkan 85 peratus penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal. Ke manakah lagi mereka dapat menyelamatkan diri?
Tidak hanya menghalang laluan keluar dan masuk, bantuan kemanusiaan turut disekat. Hampir dua juta rakyat Palestin kini diambang risiko kebuluran apabila kekurangan sumber air bersih dan makanan.
Mereka juga bergelut untuk mengakses keperluan asas ketika serangan Israel di selatan Gaza masih berterusan. Rejim Zionis menggunakan ancaman krisis kebuluran sebagai taktik licik peperangan mereka, walhal ia jelas merupakan satu jenayah perang.
Rakyat Palestin terpaksa mengikat perut jauh lebih awal sebelum ketibaan Ramadan apabila krisis yang berlaku di Gaza dilihat seakan tiada noktahnya. Yang lebih menyedihkan, apakah juadah berbuka puasa yang akan dinikmati oleh mereka?
Tanpa sedar, kita di sini merungut kerana terpaksa memboikot daripada membeli makanan kegemaran yang menyumbang kepada Israel. Sebaliknya pula di Gaza, seteguk air bersih dan secebis roti sudah mampu membuat mereka bersyukur untuk mengalas perut buat menempuh kehidupan hari esok.
Pada saat umat Islam di Malaysia mula melakukan persediaan awal sambutan hari raya pada April, rakyat di Gaza pula dalam keadaan bersedia untuk ditembak syahid pada bila-bila masa. Realiti ini amat menyedihkan dan pahit untuk diterima.
Perdana Menteri Israel juga tanpa gentar telah berikrar untuk menyerang Rafah, Gaza walaupun mendapat tentangan global. Negara-negara seperti Australia, Kanada dan New Zealand memberi amaran bahawa tindakan Benjamin Netanyahu akan memberi kesan buruk kepada 1.5 juta rakyat Palestin yang kini berlindung di Rafah.
Israeli Channel 13 pula melaporkan Netanyahu telah menerima cadangan Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir untuk mengehadkan bilangan rakyat Palestin yang memasuki Masjid Al-Aqsa sepanjang bulan Ramadan.
Pihak berkuasa Israel telah berulang kali menghalang rakyat Palestin daripada memasuki tapak ketiga paling suci Islam untuk melaksanakan solat Jumaat. Tahun-tahun sebelumnya turut menyaksikan tentera Israel melakukan gangguan terhadap jemaah Palestin di dalam masjid terutamanya ketika bulan suci umat Islam.
Tidak dapat dinafikan, seluruh umat Islam berasa marah dan kecewa terhadap situasi ini. Kita hanya mampu menghulurkan sumbangan kewangan, namun belum pasti sumbangan tersebut akan sampai kepada rakyat Palestin angkara sekatan Israel.
Teruskan memboikot jualan produk yang menyumbang kepada rejim Zionis walaupun segelintir daripada kita kini sudah mulai lupa.
Titipkan doa juga buat saudara se-Islam kita di sana kerana doa merupakan senjata orang mukmin.
Semoga Ramadan ini mampu menyemai rasa insaf dan syukur dalam diri atas segala limpahan nikmat pada kehidupan ini.-UTUSAN
FARHANA ABD. HAMID
Jabatan Bahasa Antarabangsa
Pusat Pengajian Bahasa
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)










