Saf terputus ganggu solat Jumaat

Saf terputus ganggu solat Jumaat

TERDAPAT jemaah yang terpaksa menunaikan solat di luar masjid mahupun di kawasan parkir masjid. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SOLAT Jumaat difardhukan kepada setiap lelaki muslim yang akil dan baligh. Mereka perlu mendirikan solat ini seminggu sekali dan tidak dibenarkan meninggalkannya kecuali sebab-sebab yang dibenarkan syarak. Semestinya kehadiran jemaah memenuhi ruang masjid bagi mengikuti khutbah dan mendirikan solat.

Namun apa yang mengecewakan barisan saf yang didirikan kerap terputus dek kerana keengganan makmum untuk memenuhinya dan meluruskannya.

Terdapat beberapa sebab peristiwa ini berlaku antaranya ialah tidak mengetahui kelebihan berada di saf pertama dan hadapan. Sedangkan Nabi Muhammad telah bersabda dalam hadis Riwayat Muslim.

Hadis ini menggalakkan orang lelaki mencari saf yang pertama kerana saf tersebut adalah simbol kita sebagai manusia yang bersegera ke arah kebaikan yang hampir kedudukan dengan imam untuk mendengar dan mendapat pengajaran yang baik hasil bacaan imam.

Terdapat juga yang tidak mahu memenuhi saf disebabkan selesa dengan kedudukan sedia ada. Mungkin kedudukan mereka sangat berhampiran dengan kipas dan penghawa dingin menyebabkan mereka tidak kisah ruang saf terputus di hadapan mereka.

Kegagalan mereka berbuat demikian menyebabkan terdapat jemaah yang terpaksa menunaikan solat di luar masjid mahupun di kawasan parkir masjid. Bahkan saf yang terputus juga boleh mengganggu kesempurnaan solat.

Nabi Muhammad juga bersabda, “Luruskan saf-saf kamu kerana meluruskan saf itu termasuk dalam kesempurnaan solat.” (Riwayat Muslim:433). Kegagalan memenuhi saf juga menunjukkan bahawa kita masih lagi dangkal dalam menguasai ilmu fardhu ain berkaitan solat.

Oleh itu, kita perlu memastikan bahawa saf yang didirikan sewaktu solat Jumaat ataupun mana-mana solat fardhu itu adalah lurus, penuh dan sempurna.

Ini akan mendidik kita untuk menjadi manusia yang bertimbang rasa, berpengurusan dan bersatu dalam setiap keadaan.-UTUSAN

DR. MUHAMMAD HAFIZ BADARULZAMAN
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Undang-Undang Universiti Utara Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×