Rugi murid tidak minat belajar

Rugi murid tidak minat belajar

NEGARA mungkin mengalami kelumpuhan golongan profesional dalam jangka masa 10 hingga 20 tahun akan datang akibat kurangnya pemimpin dan pakar yang berkualiti. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, isu murid-murid semakin kurang berminat untuk belajar di sekolah semakin tular serta peningkatan masalah ini dapat dilihat dengan ketara. Ini amat membimbangkan kerana para murid ini sebenarnya adalah aset negara yang perlu dibendung dan tidak dapat ditukar ganti. Mereka adalah bakal pemimpin dan pakar-pakar negara yang akan menerajui negara pada masa akan datang.

Punca-puncanya mungkin tiada daya penggerak untuk belajar akibat tiada peperiksaan umum seperti UPSR, silibus pelajaran yang sukar dan ketagihan Internet. Cabaran-cabaran pembelajaran yang wujud pada masa kini perlu diambil berat oleh semua pihak terutamanya pihak kerajaan, ibu bapa dan guru-guru untuk mengembalikan momentum pembelajaran murid-murid kepada tahap yang baik.

Ada yang berkata pembelajaran di sekolah hanyalah sia-sia kerana tiada perkaitannya dengan praktikal kehidupan yang sebenar.

Sekiranya masalah kurang minat untuk belajar dalam kalangan murid ini tidak diselesaikan dengan segera, pelbagai komplikasi yang akan dihadapi di masa akan datang. Pertamanya, sistem pendidikan negara akan dilihat tidak efektif dan relevan untuk dipraktikkan yang akan menyebabkan ibu bapa terpaksa mencari pilihan atau aliran pembelajaran yang lain untuk anak mereka seperti mengambil silibus pelajaran luar negara.

Ini akan menyebabkan kerugian kepada pihak ibu bapa kerana perbelanjaan yang berlebihan akan dilakukan dan pembaziran masa oleh murid untuk menguasai pelajaran asas yang mungkin boleh didapati di sekolah sahaja tanpa perlu menghadiri kelas tambahan.

Kesan yang besar juga boleh terjadi di mana negara mungkin akan mengalami kelumpuhan dalam pelbagai sektor seperti ekonomi, pendidikan atau sektor profesional seperti sektor perubatan dalam jangka masa 10 hingga 20 tahun akan datang akibat kurangnya pemimpin dan pakar yang berkualiti tidak mustahil akan berlaku sekiranya masalah ini tidak dibendung.

Oleh itu, terdapat beberapa cadangan penyelesaian yang boleh dilakukan oleh pihak berwajib supaya murid-murid kembali bersemangat dan berminat untuk belajar. Guru-guru boleh mengaitkan sesuatu topik pelajaran itu dengan perspektif kerjaya supaya mereka lebih berminat untuk mengetahui tentang apa yang dipelajari dalam kelas.

Pihak sekolah juga dapat melakukan sesi motivasi secara interaktif dan menarik mengenai kelebihan menghadiri sekolah dan kepentingan ilmu dalam kehidupan kepada murid supaya mereka lebih bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk mencapai impian mereka pada masa hadapan.

Generasi kini lebih memerlukan gambaran yang jelas tentang realiti kehidupan kerana perbezaan kesusahan zaman dahulu dan zaman kini yang moden tidak dapat dilihat oleh mereka.

Ibu bapa juga boleh mengambil bahagian dalam memberikan semangat kepada anak-anak untuk belajar kerana ibu bapa adalah idola yang paling berpengaruh kepada anak. Selain itu, kerajaan juga perlu mengkaji semula kesesuaian silibus yang terkini dengan perkembangan dan kebersediaan murid dalam mengikuti sistem pembelajaran tersebut.

Maka, kita sebagai masyarakat majmuk perlulah bersama-sama berusaha untuk menangani masalah ini agar generasi baharu negara yang berkualiti dapat dilahirkan. Ilmu itu adalah permata yang perlu dikekalkan dan dipraktikkan agar ia tidak hilang dan sentiasa bersinar dalam minda masyarakat. – UTUSAN

ANIS AQILAH MOHD. SULAIMAN
Mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×