SAUDARA PENGARANG,
Ibadah puasa pada Ramadan merupakan salah satu dari kesempurnaan rukun Islam. Tanpanya, tidak sempurna keislaman seseorang sebagaimana rumah yang tidak sempurna tiang asasnya, maka runtuhlah ia dengan mudah.
Ketibaan Ramadan sangat ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam di seluruh dunia. Ramadan bulan mulia yang dianjurkan untuk meningkatkan dan menggandakan ibadah memandangkan ia bulan yang memiliki pelbagai kelebihan juga keistimewaan.
Selain beribadah, dalam bulan mulia ini juga Islam memerintahkan umatnya agar mengeluarkan zakat fitrah dan harta. Allah memfardhukan ibadah zakat ke atas golongan yang mampu agar sebahagian harta yang mereka miliki dapat dinikmati oleh golongan yang kurang berkemampuan dan amat memerlukannya. Menunaikan zakat fitrah dapat menampung kekurangan dan menyempurnakan kecacatan yang dilakukan semasa melaksanakan ibadah puasa sepanjang bulan tersebut.
Ramadan turut membuat umat Islam berlumba-lumba memperbanyakkan sedekah. Ramai menganjurkan makan berbuka puasa dan sumbangan duit terutama kepada golongan fakir miskin dan anak yatim.
Bulan Ramadan diturunkan al-Quran yang merupakan mukjizat terbesar kepada Rasulullah SAW. Al-Quran bukan sahaja sekadar membimbing manusia menuju kebahagiaan dunia dan akhirat.
Setiap huruf al-Quran yang dibaca akan diberi ganjaran, apatah lagi menghafal, menghayati dan mengamalkan isi kandungannya.
Bahkan Ramadan diangkat sebagai bulan yang sangat istimewa dengan kelebihan malam Lailatul Qadar yang ditunggu oleh umat Islam.
Kita juga dianjurkan berdoa pada 10 malam terakhir. Hanya dengan keampunan daripada Allah SWT, hidup kita akan selamat di dunia dan di akhirat kelak.-UTUSAN
MOHD YAKOP IKRAM
Ipoh, Perak










