SAUDARA PENGARANG,
PADA 2014, Jabatan Tenaga Kerja Amerika Syarikat (AS) menyenaraikan Malaysia sebagai salah sebuah negara yang menggunakan tenaga buruh paksa kanak-kanak dalam sektor perladangan kelapa sawit.
Kebiasaannya, kanak-kanak membantu ibu bapa melakukan kerja-kerja ladang seperti mengangkat buah kelapa sawit tercerai, mengangkat tandan buah kelapa sawit dan merumput. Kesemua itu merupakan tugas-tugas mudah di ladang dan tidaklah membebankan jika dibantu.
Adakala juga mereka ke ladang dalam keadaan bermain-main. Ini tidak bertentangan takrifan kanak-kanak bekerja di bawah Akta Kanak-kanak dan Orang Muda Pekerjaan (Pindaan) 2019 iaitu hanya membenarkan kanak-kanak melakukan kerja yang ringan sesuai dengan keupayaan bersama-sama keluarganya.
Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini mendedahkan, sejumlah 97.78 peratus daripada 361 syarikat produksi yang menggajikan pelakon kanak-kanak dan orang muda dalam filem dan drama tidak membuat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Keputusan kajian turut menyaksikan 73.1 peratus syarikat yang terbabit dalam filem dan drama tidak mengetahui mengenai keperluan mendapatkan lesen hiburan awam sebelum menggajikan pelakon kanak-kanak dan orang muda.
Rata-rata kesedaran majikan menjaga kebajikan kanak-kanak dan orang muda bekerja hanya akan wujud jika terdapat perundangan sedemikian. Satu lagi sebab yang kuat adalah syarikat-syarikat ini tidak melihat pelakon kanak-kanak serta orang muda sebagai bukan pencari nafkah keluarga. Secara alternatif, dicadangkan ibu bapa mencarumkan i-Saraan buat anak-anak yang bekerja kerana individu seawal umur 14 tahun boleh mencarum secara sukarela.
Malaysia komited dengan Agenda 2030 dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang ditandatangani 193 buah negara yang menjadi ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Salah satu sasarannya mengambil tindakan segera dan berkesan untuk membasmi buruh paksa termasuk dalam kalangan kanak-kanak, menghapuskan perhambaan moden dan pemerdagangan manusia.
Satu cabaran besar untuk mencapai sasaran ini kerana situasi pekerjaan dalam kalangan kanak-kanak atau orang muda di Malaysia agak unik. Ia ekoran perbuatan menolong pekerjaan ibu bapa dianggap sebagai mengamalkan nilai-nilai murni. Kemungkinan buruh kanak-kanak boleh terjadi walaupun bekerja bersama ahli keluarga sama ada tidak dibayar, bekerja lebih waktu atau di luar masa kerja yang dibenarkan selain melakukan pekerjaan yang berbahaya.
Tambahan pula, perundangan di Malaysia sudah menjelaskan mengenai kanak-kanak dan orang muda yang bekerja dari segi umur, waktu bekerja dan bentuk pekerjaan.
Justeru, ideologi dan dakwaan Barat yang cuba mengaitkan perbuatan kanak-kanak yang menolong pekerjaan ibu bapa dengan buruh paksa kanak-kanak tidak akan berlaku selagi pelaksanaannya dalam parameter pekerjaan yang ringan, tiada unsur paksaan atau penganiayaan. – UTUSAN
NUR HANIM
Dengkil, Selangor










