SAUDARA PENGARANG,
GABUNGAN Persatuan-Persatuan Penduduk Taman Medan jenuh menunggu pelaksanaan Projek Petaling Jaya Traffic Dispersal Elevated Highway (PJD Link).
Gabungan persatuan yang terdiri daripada Persatuan Penduduk Blok M, Jalan PJS 1/21, Persatuan Penduduk Blok E, Medan Cahaya, Persatuan Penduduk Blok F, Medan Cahaya, Persatuan Penduduk Blok A dan Pangsapuri Permai, yang mewakili hampir 50,000 penduduk mengumumkan sokongan penuh terhadap projek PJD Link dan sebulat suara mengalu-alukan projek infrastruktur penting ini yang bakal memberi manfaat kepada penduduk Taman Medan.
Setelah sekian lama, penduduk di sekitar Taman Medan menghadapi isu kesesakan lalu lintas terutamanya pada waktu puncak.
Jalan-jalan yang terlibat adalah Jalan Medan 10, Jalan Besar PJS2, Jalan Besar PJS3, Jalan Besar PJS4, Jalan PJS 1/25 Sri Manja, Jalan PJS 3/23, Jalan 2C/17, Jalan PJS 2 dan Jalan PJS 3/40.
Sudah bertahun lamanya kesesakan ini menjejaskan aktiviti harian kami, terutamanya perjalanan ke tempat kerja dan menghantar anak-anak ke sekolah.
Kesesakan lalu lintas ini bertambah buruk disebabkan ramai pengguna melalui jalan-jalan tempatan di sini dari Jalan Klang Lama menghala ke Puchong dan Lebuhraya Shah Alam (KESAS).
Di samping itu, kami juga terpaksa mengharungi kesesakan untuk ke Petaling Jaya kerana Jalan Templer dan Jalan Gasing padat dengan kenderaan.
Selain itu, pembangunan komersial dan hartanah baharu di taman kami telah menjadikan keadaan di sini semakin tenat, ditambah pula dengan kenderaan-kenderaan berat yang menggunakan jalan tersebut.
Projek PJD Link yang telah diuar-uarkan beberapa tahun lepas, telah memberi harapan kepada penduduk Taman Medan, yang mana projek ini dijangka dapat menyelesaikan isu kesesakan di sana dengan menyuraikan trafik, menaiktaraf jalan raya serta infrastruktur di kawasan sekeliling.
Penambahbaikan ini secara langsung dapat meningkatkan kualiti kehidupan penduduk di Taman Medan. Kami sedia maklum bahawa terdapat tentangan terhadap projek ini daripada pihak-pihak tertentu yang juga ingin mengubah jajaran PJD Link.
Namun begitu, kami berpendapat bahawa sokongan kami terhadap projek infrastruktur seperti PJD Link perlu disuarakan kerana laporan di media massa hanyalah bantahan oleh beberapa pihak. Kami ingin menekankan bahawa projek ini perlu dikekalkan pada jajaran yang asal untuk memberi manfaat maksimum kepada penduduk.
Jika jajaran dialihkan luar daripada kawasan Petaling Jaya, kesesakan trafik di sana masih akan berterusan, dan penduduk Taman Medan terpaksa menanggung kesesakan yang berlarutan. Dengan memudahkan pengangkutan dan kebolehcapaian yang lebih lancar, projek ini berpotensi untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, menambah peluang pekerjaan dan meningkatkan kemakmuran Taman Medan.
Oleh itu, kami menggesa kerajaan negeri Selangor dan pihak berkuasa yang berkaitan untuk mempercepatkan kelulusan dan pelaksanaan projek ini. Gabungan Persatuan Penduduk Taman Medan bersatu padu dalam menyokong inisiatif penting ini dan berharap agar ia dapat direalisasikan dengan jayanya untuk kebaikan komuniti kami dan rakyat Selangor secara menyeluruh.-UTUSAN
MOHAMED DOLLAH
Pengerusi Persatuan Kebajikan Blok A,
Pangsapuri Permai Wakil Gabungan
Persatuan Penduduk Taman Medan










