Jangan makan semata-mata ikut selera tekak sahaja

Jangan makan semata-mata ikut selera tekak sahaja

PEMBELI harus peka soal pemakanan sihat dengan tidak mengambil makanan secara berlebihan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BEBERAPA pakar kesihatan mendakwa pelbagai jenis minuman yang dijual di bazar Ramadan atau di tepi jalan mengandungi jumlah gula yang agak tinggi selain terdapatnya kandungan lemak tepu berlebihan.

Pengambilan minuman manis itu boleh menyumbang kepada risiko diabetes. Kebiasaannya diabetes dialami oleh mereka yang berumur 60 tahun dan ke atas tetapi kini tidak lagi kerana seawal usia 20-an pun boleh mengidap penyakit itu sekiranya mengambil ringan soal pemakanan dan kesihatan.

Mengingatkan pesanan bijak pandai, antaranya jangan tertipu dengan usia masih muda sebab mati tidak semestinya tunggu hari tua. Oleh itu berubahlah daripada sekarang dengan mula mengambil pemakanan sihat.

Seiring di bulan Ramadan ini juga, kita sebagai umat Islam sangat dianjurkan bermuhasabah diri. Agak-agaknya pada gred manakah amalan ibadah berpuasa kita kali ini? Adakah A+, A- B+ atau sekadar gred D sahaja?

Pun begitu masih terdapat lagi peniaga yang tidak jujur di bulan mulia ini. Mereka menipu dan menganiaya pelanggan dengan menjual makanan dan minum yang sudah tidak boleh dimakan atau diminum sebaik tiba waktu untuk berbuka puasa.

Hal ini sangat dikesalkan dan tidak sepatutnya berlaku dalam peniaga Melayu Islam, lagi pun berniaga adalah pekerjaan yang dipuji oleh Rasulullah SAW. Bukankah hampir 90 peratus keuntungan boleh diperoleh daripada hasil jualan perniagaan?

Justeru, pelanggan dan pembeli harus peka akan hal ini dengan tidak hanya memikirkan selera tekak sahaja sebaliknya makanlah berpada-pada tanpa mengabaikan penjagaan kesihatan sementara buat peniaga pula carilah untung dengan cara yang jujur dalam urusan jual beli.-UTUSAN

MUZAKKIR HARON
Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN