Henti provokasi sesama kita, hukum pencetus isu agama

Henti provokasi sesama kita, hukum pencetus isu agama

ISU kalimah Allah perlu diambil tindakan tegas dan keras oleh pihak berkuasa di Malaysia sebagaimana beberapa negara lain mengenakan hukuman kepada mereka yang mencetuskan isu berkaitan agama. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MASIH ingat kes Ghazi bin Muhammad al-Baji yang telah menerbitkan sebuah buku bertajuk The Illusion of Islam yang diterbitkannya.

Ghazi al-Baji berkata dalam pengenalan bukunya bahawa dia berhasrat untuk mendedahkan ‘wajah hodoh Islam.’ Artikel tersebut secara sindiran menyentuh aspek biografi Nabi Muhammad.

Individu kedua, Jaber bin Abdullah al-Majiri pula menerbitkan karikatur Nabi Muhammad di laman Facebooknya berdasarkan petikan daripada buku Ghazi Al-Baji, di samping tulisan satira tentang Islam dan nabi.

Mereka dikenakan hukuman penjara tujuh tahun pada 28 Mac 2012 oleh mahkamah Tunisia kerana menerbitkan tulisan yang dianggap menyinggung perasaan umat Islam.

Tahukah kita, penghinaan kalimah Allah dikenakan hukuman yang berat di Dubai iaitu didenda hingga RM2 juta dan boleh dipenjara hingga lima tahun? Bahkan, hukuman tegas dikenakan terhadap mereka yang menghina kalimah Allah sama ada secara sengaja mahupun tidak.

Pada 13 Mac lalu, tular di media sosial, stoking yang tertera kalimah Allah dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik oleh pengguna. Adakah ini isu kecil? Jawapannya tidak.

Isu ini perlu diambil tindakan tegas dan keras sebagaimana beberapa negara lain mengenakan hukuman kepada mereka yang mencetuskan isu berkaitan agama.

Sebagai warga dalam masyarakat yang berbilang kaum, agama dan budaya, sikap berhati-hati dalam perkara yang sensitif amatlah penting. Kepekaan ini mesti dipupuk dengan ilmu dan sikap saling memahami antara satu sama lain. Yang memperkukuh kefahaman ini ialah sikap hormat-menghormati antara satu sama lain.

Ketika umat Islam bergembira meraikan kehadiran awal Ramadan pada minggu lalu, rakyat Malaysia dikejutkan dengan insiden penghinaan terhadap agama Islam berkaitan nama Allah yang tular di media sosial dan ini tidak dapat diterima oleh sesiapa pun.

Islam amat menekankan agar kesucian agama ini dipertahankan sehingga ia turut melarang umat Islam menghina agama lain bagi mengelakkan Islam dihina kembali.

Justeru, bagi mengelakkan perkara sebegini terus berulang, sudah tiba masa umat Islam bersatu, bertegas, bersama-sama membela agama ini. Selain itu, langkah pencegahan proaktif dan efektif perlulah dikuatkuasakan.

Antara langkah-langkah yang boleh diambil ialah mengenakan hukuman maksimum terhadap pelaku.

Kedua, tindakan yang wajar dilakukan adalah menerusi pendidikan dan pembangunan sahsiah holistik sejak dari sekolah rendah lagi.

Dalam pada itu, solidariti umat Islam di Malaysia bagi menghadapi isu seperti ini wajar digembleng. Semua pihak perlu berganding bahu menzahirkan solidariti terhadap isu penghinaan terhadap agama Islam dengan mengetepikan perbezaan ideologi mahupun politik.

Solidariti ini penting bagi memberi amaran kepada pihak yang melakukan provokasi ke atas umat Islam supaya tidak mengulangi kesilapan sama dan menarik perhatian pihak kerajaan supaya mengambil berat isu serta dan tidak membiarkan agama Islam dihina begitu sahaja.

Ayuh, kita pertahankan agama Islam! – UTUSAN

ATRIZA UMAR
Pegawai Kanan Jabatan Pendidikan Masyarakat Pertubuhan IKRAM Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×