SAUDARA PENGARANG,
PARTI Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN) menggesa pemimpin UMNO dan DAP berhenti bertikam lidah mengenai isu sistem sekolah vernakular sehingga boleh merosakkan keharmonian kaum dan menjejaskan silaturahim dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.
Cukup-cukuplah membangkitkan isu-isu sebegini, sebaiknya sebagai pemimpin, mereka perlu fokus dalam soal agenda membangunkan dan memajukan sistem pendidikan negara dan bagaimana boleh mengintegrasikan pengajian vernakular dengan sistem sekolah kebangsaan.
Bagi GERAKAN, janganlah bertengkar seperti musuh kerana sistem pendidikan sangat penting buat negara dan kepada generasi yang akan datang. Amat sedih melihat pemimpin-pemimpin parti berkuasa bertikam lidah dan cuba mengapi-apikan sentimen yang boleh memecahkan keluhuran Bangsa Malaysia.
Selain itu, GERAKAN mengingatkan perjuangan untuk memartabatkan bangsa tidak seharusnya mencetuskan polarisasi kaum sehingga menggugat semangat perpaduan terutamanya dalam hal berkaitan pendidikan.
Dalam pada itu, GERAKAN juga menggesa Kementerian Pendidikan supaya mencari keseimbangan dalam mengintegrasi pembelajaran sekolah kebangsaan dan vernakular, mencari jalan keseimbangan secara komprehensif serta sensitif kepada keperluan kemasyarakatan dan global.
Pada masa yang sama juga, baru-baru ini panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti menolak permohonan untuk mengisytiharkan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Cina dan Tamil di sekolah sebagai tidak berperlembagaan.
Hormatilah keputusan para hakim yang bijaksana, tumpukan usaha memartabatkan kepelbagaian dalam kalangan masyarakat. – UTUSAN
DATUK SERI CHANDRA BALABEDA
Ketua Biro Perpaduan Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN)










