SAUDARA PENGARANG,
KEBELAKANGAN ini, ibadat haji yang ingin dikerjakan oleh umat Islam dilihat oleh sang scammer sebagai salah satu daripada peluang untuk menipu melalui pelbagai taktik dan strategi licik.
Salah satu penipuan yang berlaku seawal di tanah air adalah kemunculan agensi umrah yang tidak berdaftar dan tidak sah. Kadangkala agensi-agensi yang tidak berdaftar ini begitu hebat dari segi cara pemasaran dan promosinya di media sosial sehingga mengakibatkan bakal jemaah sendiri amat cepat mempercayainya sekaligus membuat keputusan untuk mendaftarkan diri serta membayar deposit atau bayaran penuh ke atas pakej umrah yang ditawarkan.
Testimoni palsu yang direka bentuk seakan-akan maklum balas sebenar bekas jemaah ditambah tawaran harga rendah dan tidak masuk akal. Terdapat juga pengguna dihubungi oleh pihak tertentu menyatakan bahawa beliau telah terpilih memenangi pakej menunaikan umrah melalui butiran telefon yang didaftarkan dalam syarikat telekomunikasi.
Di tanah suci juga, berlaku penipuan antaranya penipu yang menyamar sebagai wakil badan atau organisasi sokongan sosial untuk mengumpulkan dana bantuan, penipuan caj yang tidak berpatutan ke atas perkhidmatan teksi. Malah, isu penipuan dari sudut penginapan yang tidak wujud juga kadangkala dihadapi oleh jemaah yang mengerjakan ibadat ini secara bersendirian tanpa agensi umrah yang lebih dikenali sebagai Umrah DIY (Do-It-Yourself) akibat terpedaya dengan harga murah yang ditawarkan.
Lain-lain penipuan adalah sindiket yang menawarkan bantuan mengucup hajarul aswad, pengambilan gambar tanpa diminta di lokasi ziarah dan kemudiannya mengenakan bayaran serta penipuan penukaran mata wang melalui caj tambahan yang tidak dinyatakan semasa berurusan.
Antara perkara penting boleh diambil bakal jemaah ialah semakan Senarai Agensi Umrah Berdaftar dengan pihak kerajaan atau syarikat yang mempunyai lesen perniagaan pengendalian pelancongan luar negeri bagi umrah atau ziarah.
Penelitian ke atas maklum balas sebenar di atas talian oleh para pengguna juga membolehkan pertimbangan rasional sebelum pembuatan keputusan untuk meneruskan prosedur pendaftaran dan pembayaran pakej umrah dan haji.
Penyelidikan yang menyeluruh mengenai agensi atau syarikat yang menawarkan pakej umrah dan haji, berkomunikasi hanya dengan agensi berlesen dan mempunyai reputasi yang baik serta sentiasa meletakkan ketetapan pendirian bahawa tidak akan sesekali berkongsi maklumat peribadi dan kewangan kepada pihak yang tidak dikenali merupakan langkah terbaik dan selamat dalam mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan.
Agensi penguatkuasaan harus memainkan peranan penting dalam meneliti langkah-langkah untuk mengekang permasalahan penipuan yang berlaku ini daripada berterusan.
Di peringkat agensi umrah pula, pemberian taklimat keselamatan secara penuh dan teliti seharusnya turut dimasukkan intipati isu scammer di tanah suci supaya para jemaah peka dan mengambil berat agar tidak menjadi salah seorang mangsa.
Di peringkat mangsa yang pernah berhadapan isu ini sungguhpun melibatkan kerugian kecil, seharusnya laporan kepada pihak berkuasa dibuat agar si pelaku yang tidak bertanggungjawab ini dapat dihadapkan ke muka pengadilan. Melalui kerjasama semua pihak, permasalahan penipuan tanah suci ini boleh dielakkan dan dihapuskan secara berperingkat dan menyeluruh. – UTUSAN
DR. MOHAMAD HAFIFI JAMRI
SITI HAJAR ABD. AZIZ
Pensyarah Kanan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM) UiTM Cawangan Melaka










