SAUDARA PENGARANG,
HARI Bertemu Pelanggan agensi awam masih relevan untuk dilaksanakan walaupun negara menuju penghijrahan era konvensional ke arah digitalisasi.
Terdapat keperluan untuk membuka kaunter dan bertemu pelanggan, klien atau pengunjung untuk sesi penerangan atau khidmat nasihat bersemuka secara berkala seperti yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Perak.
Usaha ini nyata masih relevan dan selaras aspirasi rakyat selaku pelanggan utama untuk mendapatkan perkhidmatan secara bersemuka dengan Menteri Besar atau Exco. Usaha ini memberi impak perkhidmatan kerajaan negeri kepada rakyat yang memerlukan tindakan segera.
Kini masa terbaik untuk kerajaan negeri serta warga sektor awam menggandakan usaha meneroka teknologi penyampaian perkhidmatan awam terutamanya dalam merangka hala tuju, dasar serta pelaksanaan inisiatif strategik baharu kerajaan berorientasi pelanggan.
Duduk di kaunter atau meja semasa Hari Bertemu Pelanggan dengan bahan-bahan penerbitan, risalah, komputer riba dan sebagainya membawa imej siap siaga mengutamakan pelanggan serta secara tidak langsung menambahkan keyakinan masyarakat terhadap mutu penyampaian perkhidmatan awam.
Promosi melalui media sosial semata-mata tidak mencukupi kerana tidak mampu tembusi keseluruhan golongan sasaran. Dalam konteks ini tidak semua pelanggan mempunyai telefon pintar atau akses internet.
Pencapaian Hari Bertemu Pelanggan boleh diukur dengan kehadiran jumlah pengunjung untuk mendapatkan maklumat dan mengira bilangan aduan yang dapat diselesaikan.-UTUSAN
YOSRI ABU MAHSIN
Ipoh, Perak










