Fahami budaya, isu usia perkahwinan dari sudut Islam

Fahami budaya, isu usia perkahwinan dari sudut Islam

SEBAGAI umat Islam, kita perlu faham bahawa usia perkahwinan dahulu mungkin berbeza dengan norma yang berlaku pada hari ini. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

Dalam perspektif Islam, perkahwinan dianggap sebagai ibadah dan diharuskan bagi individu baligh. Sejarah mencatatkan Nabi Muhammad mengahwini Siti Aisyah ketika berumur enam tahun dan telah bersamanya setelah umur Aisyah mencecah sembilan tahun.

Walaupun perkara ini menimbulkan kontroversi dalam konteks nilai moden, adalah penting bagi umat Islam untuk memahami bahawa amalan perkahwinan ketika itu mungkin berbeza dengan pandangan kita hari ini.

Penafsiran terhadap kejadian ini perlu dilakukan dengan mengambil kira konteks sejarah, nilai agama Islam dan tanpa mengabaikan prinsip belas kasihan, keadilan dan kebijaksanaan dalam menjawab perbezaan pendapat.

Selain itu, perkahwinan Nabi Muhammad sebelum berkahwin dengan Siti Aisyah semuanya perkahwinan dengan janda melainkan Aisyah dan jika benar nabi mengahwini Aisyah kerana nafsu, mengapa mengahwini isteri-isteri Baginda sebelum Aisyah?

Perkahwinan Nabi Muhammad dengan Siti Aisyah bukan sahaja keputusan peribadi semata-mata, akan tetapi ia ketetapan Ilahi yang penuh hikmah. Allah, sebagai Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana, mengatur semua aspek kehidupan dengan hikmah yang sempurna.

Siti Aisyah, seorang wanita yang bijak dan cerdik telah membuktikan kelebihannya melalui sumbangannya dalam penyebaran hadis Nabawiyyah.

Perkahwinan mereka bukan sahaja menjadi pengikat kasih sayang, malah menjadi wadah penyampaian syiar Islam melalui hadis-hadis sahih riwayat Aisyah.

Dengan lebih 2,210 hadis yang diriwayatkan oleh beliau, Aisyah memainkan peranan yang besar dalam memelihara dan menyebarkan warisan ilmu Islam. Tanpa perkahwinan itu, separuh daripada kekayaan hadis-hadis ini mungkin tidak sampai kepada masyarakat Islam.

Oleh itu, perkahwinan Rasulullah dengan Siti Aisyah adalah sebahagian daripada perancangan Allah yang mengandungi hikmah yang mendalam, yang memperkaya dan mencerahkan kefahaman umat Islam terhadap ajaran-Nya.

Sebagai umat Islam, kita perlu faham bahawa usia perkahwinan dahulu mungkin berbeza dengan norma yang berlaku pada hari ini. Menghargai perbezaan budaya dan konteks sejarah membantu kita melihat perkahwinan Rasulullah dengan Siti Aisyah dari perspektif yang lebih luas.

Adalah penting untuk tidak menilai peristiwa sejarah mengikut piawaian moral semasa tetapi dengan memahami konteksnya. Tiada yang pelik apabila Nabi mengahwini Aisyah kerana wanita yang tinggal di negara-negara beriklim panas lebih cepat baligh, matang dan bersedia untuk berkahwin lebih awal.

Lebih-lebih lagi apabila Aisyah sendiri mengakui dengan kata-katanya, “Apabila kanak-kanak wanita mencapai umur sembilan tahun, maka dia sudah bergelar wanita”. (Sunan Tirmizi 3/417).

Untuk menjawab kritikan terhadap perkahwinan Nabi Muhammad dengan Siti Aisyah, adalah perlu untuk memahami konteks sejarah, memahami perbezaan pendapat dan berkomunikasi dengan cara yang bijak.

Ini membolehkan kita membina ruang perbincangan yang menghormati kepelbagaian pandangan sambil mengekalkan nilai dan prinsip yang kita pegang sebagai umat Islam.

Kita sebagai umat Islam wajarlah tidak mempercayai pihak yang menuduh Baginda kerana sebenarnya, musuh-musuh Islam sudah ketandusan idea untuk menolak kehebatan dan kebenaran agama Islam ini.

Sehingga akhirnya mereka terpaksa membuat tohmahan berbentuk keduniaan.-UTUSAN

MUHAMMAD FAHRUNNAQIB ZAWAWI
Pelajar Tahun 2 Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN