SAUDARA PENGARANG,
APABILA Kerajaan Negeri Kelantan menaikkan papan tanda petikan hadis Nabi tentang larangan bunuh diri di jejambat Tendong, ia mengingatkan kita tentang papan tanda yang diletakkan di laluan masuk hutan Aokigahara di Jepun. Hutan tersebut menjadi lokasi popular bagi sesiapa yang ingin membunuh diri.
Papan tanda yang dipacak di pintu masuk hutan berbunyi, ‘Hidup ialah kurniaan yang bernilai’ dan ‘Tolong jangan menderita keseorangan, mintalah bantuan’.
Walau sebanyak mana pun papan tanda dinaikkan, 100 kejadian bunuh diri telah berlaku di hutan itu sahaja bagi 2013 hingga 2015. Selepas tahun tersebut, pihak berautoriti tidak lagi mendedahkan rekod bunuh diri yang berlaku di hutan Aokigahara.
Bunuh diri kebiasaannya dikaitkan dengan masalah kesihatan mental seperti tekanan dan kemurungan yang kronik, gangguan bipolar, schizophrenia dan lain-lain. Ia turut membabitkan faktor lain seperti latar belakang keluarga yang pernah membunuh diri, sakit kronik berpanjangan yang memberi impak pada kesejahteraan mental serta kurangnya sokongan dan ikatan sosial.
Ini membawa rasa sunyi dan terasing, rasa tidak dihargai serta tidak dicintai. Tekad bunuh diri akhirnya meletus melalui rasa putus asa dan hilang harapan. Dalam konteks ini, seseorang yang cenderung membunuh diri tidak melihat adanya lagi sebarang harapan untuk mengecapi peluang hidup yang lebih baik. Dengan pertimbangan ini, jalan akhirnya ialah mengambil nyawa sendiri.
Kerana itu, Islam menekankan peri pentingnya pemerkasaan rohani. Nabi Muhammad bersabda:“Sesungguhnya dalam diri (insan) itu ada seketul daging (hati). Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya. Namun, seandainya daging tersebut rosak, maka rosaklah seluruh anggotanya”.
Namun, kekuatan akal dan emosi perlu juga dibina bagi memastikan pertimbangan dibuat menurut lensa iman dan bukannya hawa nafsu semata-mata. Dalam masa sama, terdapat peraturan dan hukum hakam yang perlu dipatuhi oleh manusia. Dalam Islam, perbuatan membunuh diri adalah dilarang dan berdosa besar.
Oleh itu, telah tiba masanya pembelajaran psikologi di universiti perlu turut membabitkan konsep spiritual Islam. Rawatan yang menerapkan psikospiritual Islam pula perlu diiktiraf sebagai kaedah perubatan yang ditawarkan di hospital dan bukan sekadar bersifat komplimentari semata-mata. – UTUSAN
Dr. Mohd Khairul Naim Che Nordin
Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam,
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya










