Bimbang dengan kartel industri beras

Bimbang dengan kartel industri beras

KITA tidak mahu pihak tertentu mengaut keuntungan dan rakyat terus terhimpit akibat manipulasi harga pihak tertentu. – UTUSAN/ SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA bersetuju dengan Pengerusi Majlis Sara Hidup Negara ( NACCOL) bahawa kesukaran menemui beras tempatan angkara kartel dalam industri beras. Dapat dilihat kenaikan dan kekurangan bekalan makanan seperti ayam, telur serta gula ada persamaan dengan masalah beras yang berkemungkinan berpunca akibat permainan pihak berkepentingan dalam industri berkenaan.

Mereka boleh dikatakan berkemampuan dan telah menguasai industri makanan ini dan sekarang mereka berkuasa dalam menentukan bekalan, menentukan turun naik harga dan juga boleh jadi menyorok barangan keperluan dapur rakyat ini.

Ini termasuk menjadikan beras tempatan sebagai beras import, mencampur beras tempatan dengan beras import kemudian menukar label menjadi beras import. Saya perhatikan di kedai ada menjual sedikit beras tempatan berbanding beras import.

Apabila beras tempatan habis, pembeli sudah tentu terpaksa membeli beras import yang sekali ganda mahal dan sudah tentu membebankan pengguna. Pekedai menjual semua beras import dan apabila ditanya beras tempatan, belum sampai dan tiada stok. Pihak pekedai juga kemungkinan bersubahat dengan pemborong dan pembekal untuk melakukan permainan harga sama ada menyorok beras atau mahukan keuntungan berganda.

Pihak yang terlibat secara langsung dengan industri makanan negara perlulah kembali kepada pengusaha kilang beras dan pemborong beras yang sudah tentu mempunyai maklumat penjualan beras tempatan ini.

Kita tidak mahu pihak tertentu mengaut keuntungan dan rakyat terus terhimpit akibat manipulasi harga pihak tertentu. Tidak ada gunanya bermacam-macam tindakan untuk menyelesaikan isu beras jikalau beras tempatan untuk golongan kurang berkemampuan tidak dapat ditangani.

Sampai bila isu bangau oh bangau dan saling menunding jari mencari kesalahan orang lain ini dapat diselesaikan dan ditamatkan secepat mungkin. Kita tidak mahu kerajaan ditertawakan oleh kartel kerana kegagalan kerajaan menangani kelicikan mereka memanipulasikan bekalan beras negara. – UTUSAN

BERAS HANCUR
Temerloh, Pahang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN