SAUDARA PENGARANG,
PENDAPAT yang menganggap pendidikan di sekolah tidak relevan oleh generasi sekarang mungkin disebabkan pelbagai faktor, ia perlu diperhalusi dan diatasi secara bersama.
Proses kemas kini kurikulum perlu diperkasakan kerana ada yang merasakan bahawa kurikulum di sekolah tidak mencukupi untuk mempersiapkan mereka untuk kehidupan selepas sekolah.
Mungkin terdapat jurang antara apa yang dipelajari di sekolah dengan keperluan dunia pekerjaan atau kehidupan sebenar.
Keterbatasan pendidikan tradisional turut dipertikaikan. Dalam era teknologi berkembang pesat, beberapa individu merasakan bahawa pendidikan di sekolah terlalu berfokus pada pembelajaran tradisional dan tidak mengakui kepentingan kemahiran digital (maklumat terkini) atau keusahawanan. Ini menyebabkan kurang relevan pendidikan di mata sesetengah pihak.
Apa yang kita perlu normalisasikan adalah usaha yang berterusan tanpa kenal erti putus asa dengan bantuan sokongan pelbagai pihak. Justeru itu, walaupun terdapat pandangan negatif terhadap pendidikan di sekolah, penting untuk diingatkan bahawa pendidikan di sekolah masih memainkan peranan yang penting dalam membentuk asas pengetahuan, kemahiran dan nilai-nilai yang diperlukan untuk kejayaan dalam kehidupan dan masyarakat.
Oleh itu, penambahbaikan dalam sistem pendidikan serta penekanan kepada kepentingan pembelajaran yang relevan dan meningkatkan minat generasi muda dan belia adalah penting bagi memastikan kesinambungan keberkesanan pendidikan di sekolah.
Semua sekolah di Malaysia perlu dibantu sama rata dan pastikan tumpuan utama pendidikan adalah melahirkan masyarakat minda kelas pertama dengan mengurangkan jurang sedia ada di peringkat sekolah seperti kemudahan dan fasiliti terbaik.
Semua tahu, sekolah sains dan sekolah MRSM sering dapat menyediakan tahap pendidikan terbaik kepada pelajar mereka kerana kemudahan dan fasiliti yang disediakan. Begitu juga pendapat mengatakan, cikgu mereka juga dalam kalangan penggubal kertas soalan peperiksaan utama.
Jadi pelajar sekolah sains dan MRSM mempunyai potensi yang tinggi untuk memperoleh keputusan yang cemerlang berbanding sekolah harian biasa.
Pendidikan masa depan adalah pendekatan pendidikan yang menekankan persediaan golongan muda dan belia untuk menghadapi cabaran dunia moden yang dinamik. Salah satu aspek penting dalam pendidikan masa depan adalah pembangunan kemahiran abad ke-21.
Ini merangkumi kemahiran seperti kritikal berfikir, kreativiti, kemahiran komunikasi dan kerjasama yang penting untuk berjaya dalam ekonomi global yang semakin kompleks. Pendidikan masa depan juga mengintegrasikan teknologi secara meluas dalam proses pembelajaran.
Penggunaan alat bantu pembelajaran digital, platform dalam talian, dan aplikasi mudah alih membolehkan pembelajaran menjadi lebih interaktif dan personalisasi, serta membantu mempersiapkan golongan muda dan belia untuk menghadapi persekitaran teknologi yang semakin berkembang.
Pembelajaran berpusatkan projek (real world job market) juga menjadi fokus dalam pendidikan masa depan. Pendekatan ini membolehkan golongan muda dan belia untuk belajar melalui pengalaman praktikal, mengaplikasikan pengetahuan dalam konteks dunia sebenar dan mengembangkan kemahiran penyelesaian masalah yang relevan.
Dengan menerapkan prinsip-prinsip ini, pendidikan masa depan bertujuan untuk menyediakan golongan muda dan belia dengan pengetahuan, kemahiran dan kebolehan adaptasi yang diperlukan untuk berjaya dalam masyarakat yang semakin kompleks dan berubah dengan cepat. – UTUSAN
DR. HADAFI FITRI MOHD. LATIP
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial
dan Kemanusiaan UTM










