SAUDARA PENGARANG,
KEBANYAKAN pelajar pada zaman sekarang hanya mahukan keseronokan dan hiburan sahaja. Apabila tiba masa untuk belajar, mereka mula merasa malas dan tidak semangat.
Apa yang mereka fikirkan? Mereka hanya belajar untuk mengakhiri persekolahan, ijazah dan mendapat sijil sahaja dan tidak memikirkan masa depan sebenar.
Oleh itu, kita sebagai pelajar haruslah sentiasa berusaha sebaik mungkin untuk masa depan yang kita inginkan.
Cara paling utama bagi meningkatkan motivasi untuk belajar adalah menetapkan tujuan belajar itu sendiri. Amat penting kita menyenaraikan matlamat dan impian yang ingin kita capai secara spesifik.
Senarai matlamat ini bolehlah diletakkan di tempat seperti dinding bilik, almari, buku atau juga di skrin telefon bimbit. Ia boleh membantu mengingatkan kita kepada matlamat dan sekaligus mengekalkan motivasi diri untuk belajar.
Mencipta suasana yang tenang dan nyaman juga merupakan salah satu cara meningkatkan motivasi belajar. Sebagai contoh, belajar di perpustakaan atau kafe yang dilengkapi dengan kemudahan internet.
Rakan sebaya juga sangat mempengaruhi diri kita, baik dari segi tingkah laku dan cara hidup. Rakan yang bersemangat untuk belajar akan memberi aura positif dalam proses pembelajaran. Maka pandai-pandailah dalam memilih rakan, kerana rakan sangat mempengaruhi kehidupan kita.
Cara meningkatkan motivasi belajar lainnya adalah dengan memberikan ganjaran kendiri kepada diri kita. Ganjaran kendiri adalah bentuk apresiasi diri atas hal yang telah dilakukan atau dicapai. Bentuknya tidak harus selalu dalam bentuk kebendaan, tetapi boleh juga berupa waktu rehat.
Rehat seketika dapat membantu kita menghilangkan stress dan mengantuk saat belajar. Menurut penelitian, rehat antara lima hingga 60 minit dari belajar dapat meningkatkan semangat dan produktiviti yang membolehkan kita untuk lebih fokus. – UTUSAN
WAN NUR AMALIA WAN ZAINI
Mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia










