Kebebasan penuh universiti dapat hentikan kerenah birokrasi

Kebebasan penuh universiti dapat hentikan kerenah birokrasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

Universiti perlu menjadi sebuah tempat yang mana semua pihak dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan mudah tanpa perlu melalui sebarang kerenah birokrasi.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menghentikan segera kerenah birokrasi lama dan membenarkan universiti awam membuat keputusan sendiri bagi menentukan keutamaan masing-masing.

Jadi, bagaimana hendak kurangkan atau hentikan kerenah birokrasi sekiranya pihak universiti khususnya universiti awam itu sendiri masih sebahagian daripada entiti kerajaan? Universiti awam masih terikat dengan pelbagai tatacara dan peraturan yang ditetapkan kerajaan.

Saya pun berasa hairan, kenapa pihak universiti perlu ikut banyak tatacara dan peraturan yang ditetapkan kerajaan selama ini? Antara sebab yang boleh diberikan adalah mungkin kerana pelaksanaan aktiviti dan program melibatkan penggunaan wang rakyat.

Seperti yang diketahui umum, universiti awam masih bergantung penuh dengan peruntukan wang kerajaan yang datangnya dari wang cukai rakyat. Oleh yang demikian, kerenah birokrasi terpaksa dilakukan bagi memastikan wang rakyat yang disalurkan digunakan dengan baik tanpa ada sebarang keciciran, pembaziran dan penyalahgunaan.

Oleh itu, universiti harus mampu mencari duit sendiri tanpa mengharap peruntukan tahunan yang datang daripada pihak kerajaan. Universiti tidak boleh lagi menggunakan atau mengharapkan status autonomi lagi sekiranya mereka ingin kurangkan atau hentikan kerenah birokrasi.

Pembaharuan perlu juga dilakukan seperti penambahbaikan proses lantikan naib canselor atau Rektor serta timbalan-timbalan mereka supaya ia menjadi lebih demokratik dan universiti dikemudi oleh individu yang benar-benar layak dan profesional.

Pihak pentadbiran universiti dan kerajaan perlu memastikan kebebasan akademik wujud dalam negara kita. Sekiranya kebebasan akademik ini tidak wujud, sukar bagi mana-mana pihak untuk tampil berani memberi pendapat serta cadangan untuk kemajuan universiti dan negara.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN