Jangan berhenti bela nasib orang Islam Uighur

Jangan berhenti bela nasib orang Islam Uighur

MALAYSIA sebagai negara Islam perlu terus berjuang membela nasib orang Islam Uighur yang teruk ditindas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DASAR penindasan dan kezaliman yang dilakukan China terhadap orang Islam Uighur di wilayah otonomi Xinjiang di Barat Laut China telah lama berlaku sehingga mendapat kecaman hebat dari seluruh dunia.

Pun begitu, ia dinafikan kerajaan negara itu dengan menyatakan bahawa penindasan dan kezaliman yang dilakukan hanyalah propaganda negara Barat yang bertujuan untuk campur tangan dalam hal ehwal dalaman China dan seterusnya menyekat kebangkitan negara itu sebagai kuasa besar dunia.

Kumpulan hak asasi manusia antarabangsa seperti Amnesty International and Human Right Watch (HRW) sekian lama menyiasat dan menyiapkan laporan kemudian menyerahkannya kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Laporan tersebut mendedahkan mengenai kem-kem yang dibangunkan untuk menempatkan jutaan rakyat Uighur secara paksaan. Antara kekejaman yang dilakukan terhadap umat Islam Uighur adalah penahanan tanpa sebarang kesalahan, pertuduhan mahupun dibicarakan yang sudah pasti melanggar Hak Asasi Manusia.

Meskipun begitu, penindasan dan kezaliman itu semakin dilupakan. Ia sepatutnya tidak terjadi kerana sudah menjadi tanggungjawab sebagai umat Islam untuk membela nasib saudara-saudara seagama.

Antaranya, kita boleh berkongsi maklumat tidak kiralah dalam bentuk ilustrasi ataupun penulisan di media sosial. Keberkesanan penggunaan media sosial dalam menyebarkan maklumat terbukti lebih berkesan.

Selain itu, negara-negara Islam, parti-parti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga perlulah memanfaatkan hubungan baik mereka dengan China dalam membela nasib orang-orang Islam di Uighur melalui persidangan khas. Contohnya, UMNO mempunyai hubungan baik dengan Chinese Communist Party (CCP) boleh membantu untuk melakukan perubahan.

Selain berdoa, setiap negara Islam perlu mempunyai wakil khas dalam menyuarakan isu Islamofobia. Hal ini kerana dengan adanya wakil khas ini dapat memberi pendedahan tentang Islam dari segi syariah, etika dan gaya hidup kepada negara-negara majoriti bukan Islam dan individu-individu yang Islamofobia. Ia juga dapat memberi pandangan baharu bahawa Islam tidaklah seburuk dan seganas seperti yang mereka fikirkan.-UTUSAN

NURUL AUNI AZIMAH ALI
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN