Faktor kaum bukan penghalang pilihan raya PBT

Faktor kaum bukan penghalang pilihan raya PBT

TIDAK tepat kalau masih ada yang menganggap Kuala Lumpur sebagai bandar raya majoriti Cina. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

CADANGAN untuk memulakan semula pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya di Kuala Lumpur telah menimbulkan reaksi yang begitu besar dalam kalangan masyarakat namun banyak fakta semasa dan fakta sejarah perlu disebut dan dibahas.

Ketiga-tiga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mempunyai satu persamaan, iaitu setiap pengundi di kawasan ini hanya berhak untuk memilih ahli Parlimen sahaja pada pilihan raya umum.

Pengundi bukan Wilayah Persekutuan pula mendapat dua keping kertas undi, satu untuk memilih Ahli Parlimen dan satu lagi untuk memilih wakil mereka di Dewan Negeri.

Kalau berdasarkan ini sahaja, memang tidak adil untuk pengundi di Wilayah-wilayah Persekutuan kerana mereka tidak mempunyai wakil pilihan mereka dalam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan.

Ramai selalu ingat Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar di Malaysia sama ada Semananjung atau Sabah dan Sarawak majoriti penduduk Cina.

Malahan, Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh menyatakan, daripada jumlah penduduk sebanyak 1,588,750 orang di Kuala Lumpur, hanya 45.9 peratus adalah orang Melayu.

Oleh itu, beliau berpendapat ini akan menyebabkan ketidakseimbangan sekiranya pilihan raya PBT dimulakan di Kuala Lumpur.

Pada masa kini, kecuali lima orang ahli Parlimen DAP di Kuala Lumpur yang berbangsa Cina, selebihnya enam ahli Parlimen adalah bukan Cina iaitu lima orang Melayu dan seorang India.

Dr. Akmal menyatakan bahawa datanya diperoleh daripada banci penduduk. Perlu ditekankan bahawa maklumat yang diberi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada setiap parti politik tidak mengandungi peratusan kaum di setiap kawasan.

Untuk mendapatkan nisbah tersebut, pihak media dan parti politik perlu melakukan analisis data raya berdasarkan senarai daftar pemilih.

Daripada sebelas kerusi, enam daripadanya merupakan kawasan majoriti Melayu, manakala selebihnya kawasan majoriti Cina. Daripada jumlah keseluruhan pengundi, Melayu 48.12 peratus, Cina 42 peratus, India dan kaum-kaum lain hanya 10 peratus.

Data ini berbeza sedikit dengan data yang dinyatakan oleh Dr. Akmal tetapi yang pasti ia lebih terkini. Ini juga menunjukkan bahawa jumlah dan perkadaran pengundi Melayu di Kuala Lumpur telah meningkat dari tahun ke tahun.

Dengan ini, senarai daftar pemilih pilihan raya umum pada bulan November tahun lepas telah pun menunjukkan pengundi Melayu di Kuala Lumpur telah mencapai 48 peratus tetapi bukannya 45.9 peratus seperti yang dinyatakan oleh Dr. Akmal.

Data yang sama juga telah menunjukkan bahawa perkadaran pengundi Cina di Kuala Lumpur sebenarnya lebih rendah daripada pengundi Melayu. Maka adalah tidak tepat kalau masih ada yang menganggap Kuala Lumpur sebagai bandar raya majoriti Cina.

Apa yang mereka masih boleh kata ialah pengundi bukan Melayu di Kuala Lumpur melebihi separuh daripada jumlah penduduk tetapi pengundi Melayu masih teramai di Kuala Lumpur.

Sekiranya perkadaran penduduk bukan Melayu terus menurun, saya percaya tidak sampai lima tahun, jumlah pengundi Melayu di Kuala Lumpur akan melebihi pengundi bukan Melayu.

Kalau begitu, adakah ini bermaksud faktor kaum sudah bukan lagi faktor penghalang untuk memulihkan pilihan raya PBT di DBKL? –UTUSAN

LAU WENG SAN
Shah Alam, Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×