SAUDARA PENGARANG,
KERAJAAN akan mula melaksanakan beberapa cukai baharu pada Mac dan pengenalan subsidi bersasar kerana sistem yang digunapakai sekarang tidak menepati sasaran. Pada sebelum dan ketika ini rakyat berpendapatan tinggi menikmati harga petrol bersubsidi dan pendatang asing juga turut merasa subsidi melalui pembelian pelbagai jenis barangan.
Bahkan Jualan Rahmah dan Agro Madani yang diadakan juga tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh kumpulan sasar. Ini kerana pada hari penganjuran, kumpulan sasar mungkin tidak tahu atau tidak berada di kawasan tersebut atau juga masa penganjuran tidak sesuai kerana tiada wang ketika itu. Jika ada pun, mungkin dimanfaatkan kepada perkara lebih penting seperti kecemasan.
Untuk berlaku adil, mencapai sasaran dan mengelakkan pembaziran adalah disarankan keseluruhan peruntukan subsidi pukal dengan nilai lebih RM80 bilion yang ditanggung oleh kerajaan itu diagihkan sahaja kepada kumpulan sasar, B40 dan M40 sebagai elaun tetap kos sara hidup.
Dengan ini ketua isi rumah akan menerima RM1,000 dan RM667 sebulan. Jika pada ukuran median isi rumah B40 sekarang mendapat RM1,500 sebulan, dengan mekanisme ini akan menjadikan pendapatan mereka RM2,500 sebulan manakala pendapatan isi rumah M40 akan menjadi RM5,667 sebulan.
Elaun tetap kos sara hidup ini merupakan sumbangan kerajaan secara habis-habisan kepada kumpulan sasaran B40 dan M40 untuk menangani kos sara hidup mereka dan terpulang kepada mereka memanfaatkan sepenuhnya mengikut keutamaan mereka.
Harga bagi semua jenis barangan dan perkhidmatan akan diapungkan untuk ditetapkan oleh arus pasaran. Kerajaan tidak perlu lagi memikirkan soal subsidi baik dari segi penjenisan mahupun sasaran. Kerajaan juga tidak perlu bersusah payah menjaga sempadan untuk menyekat barangan yang hendak diseludup ke keluar negara.-UTUSAN
MOHAMED YUSOFF YAHYA
Batu Gajah, Perak










