SAUDARA PENGARANG,
TERDAPAT tujuh akta mengenai perjudian iaitu Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, Akta Pertaruhan 1953, Akta Loteri 1952, Akta Pertaruhan Wang Terkumpul 1967, Akta Perlumbaan (Lembaga Totalizator) 1961, Akta Kelab Lumba Kuda (Ambil Tagan Awam) 1965 dan Akta Kesalahan Kecil 1955.
Kecuali Akta Kesalahan Kecil 1955, akta-akta ini dikawalselia oleh Menteri Kewangan dan dikuatkuasa oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (ARPT) dan Akta Pertaruhan 1953 (AP) merupakan akta-akta utama pada masa kini yang digunapakai untuk menyiasat dan mendakwa kes judi dan pertaruhan dalam talian.
Akta-akta lain belum pernah dilaporkan digunapakai untuk menyiasat dan mendakwa kes perjudian dalam talian. ARPT digubal berdasarkan Ordinan Rumah Perjudian Terbuka 1953 dan dipinda kali terakhir pada 2001. AP pula digubal berdasarkan Ordinan Pertaruhan 1953 dan dipinda pada 1992.
Mahkamah Tinggi dalam kes Pendakwa Raya melawan Multi Electrical Supply & Services & Ors (2022) menekankan bahawa ARPT tidak mempunyai apa-apa peruntukan khusus yang menyentuh perjudian dalam talian.
Malah, mahkamah turut mengiktiraf bahawa undang-undang sedia ada tidak memberikan pihak berkuasa alat perundangan yang betul untuk memerangi perjudian dalam talian.
Persoalan berbangkit bukan lagi mengenai kewajaran pemakaian ARPT sebaliknya apakah ARPT utuh digunakan untuk mengekang kes perjudian dalam talian atau sebaiknya diwujudkan suatu perundangan khusus.
Pelbagai pihak telah melontarkan pandangan dan memberikan kenyataan mengenai ARPT sejak beberapa dasawarsa yang lalu, ahli Parlimen mahupun penjawat awam. Fakta nyata yang tidak dapat disangkal oleh semua pihak bahawa akta ini sudah lapuk dan memerlukan kajian semula.
Namun, banyak isu yang perlu ditangani dan diperhalusi sebelum keputusan khusus mengenai undang-undang perjudian dalam talian diwujudkan.
Sebagai contoh, dalam kes Ng Khian Hee, Ong Chee Chun, David Lee Chin Kung, Lim Zhi Da dan Roseaini Johor, Mahkamah Tinggi telah menjelaskan bahawa peranti yang boleh diklasifikasikan sebagai mesin judi dibawah ARPT perlulah menunjukkan adanya transaksi perjudian pada waktu tangkapan dibuat.
Walau bagaimanapun, hanya satu daripada lima kes yang dinyatakan memihak kepada pihak pendakwaan.
Langkah proaktif perlu diambil untuk mendalami punca substantif atau teknikal yang menjejaskan kes pendakwaan di mahkamah. Input yang diperoleh bolehlah dijadikan asas untuk menambahbaik undang-undang perjudian dalam talian.
Pengupayaan agensi penguatkuasaan menerusi peruntukan undang-undang khusus untuk mendapatkan maklumat mengenai jenayah perjudian dalam talian, menangkap pihak yang bertanggungjawab, menyita peralatan dan barang yang digunakan untuk melakukan jenayah dan mengesahkan keterangan menerusi saksi pakar dapat merungkai caca marba undang-undang perjudian dalam talian di Malaysia.
Apa yang diperlukan kini adalah rangka perundangan yang berupaya menghantar mesej jelas kepada pemain dan penganjur perjudian dalam talian bahawa jenayah ini tidak dipandang enteng dalam gagasan sistem keadilan jenayah di Malaysia.
Agensi penguatkuasaan dan pendakwaan bersedia untuk menggempur jenayah ini demi kemaslahatan penduduk dan keharmonian Malaysia.
Namun, perkasakanlah mereka sewajarnya untuk menempuh peperangan ini. Usah dibiarkan laberang kelompangan undang-undang terus melilit biang kegagalan siasatan dan pendakwaan jenayah perjudian dalam talian.-UTUSAN
SHARIFAH ZULIA BALQISH S. AGIL
Calon Ijazah Kedoktoran Fakulti Undang-Undang UiTM










