SAUDARA PENGARANG,
KETIKA ini terdapat tujuh akta mengenai perjudian yang mempunyai peruntukan penguatkuasaan di Malaysia dengan Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 dan Akta Pertaruhan 1953 merupakan akta-akta utama pada masa ini yang digunapakai untuk menyiasat dan mendakwa kes judi dan pertaruhan dalam talian.
Persoalan berbangkit bukan lagi mengenai kewajaran Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 sebaliknya adakah akta ini cukup kuat untuk mengekang kes perjudian dalam talian atau sebaiknya diwujudkan satu perundangan khusus?
Pelbagai pihak telah melontarkan pandangan dan memberikan kenyataan mengenai akta ini sejak beberapa dasawarsa lalu. Fakta nyata yang tidak dapat disangkal oleh semua pihak bahawa akta ini sudah lapuk dan memerlukan kajian semula.
Walau bagaimanapun, hanya satu daripada lima kes berhubung isu ini yang didakwa di Mahkamah Tinggi memihak kepada pihak pendakwaan. Langkah proaktif perlu diambil untuk mendalami punca substantif atau teknikal yang menjejaskan kes pendakwaan di mahkamah. Input yang diperoleh bolehlah dijadikan asas untuk menambah baik undang-undang perjudian dalam talian.
Pengupayaan agensi penguatkuasaan menerusi peruntukan undang-undang khusus untuk mendapatkan maklumat mengenai jenayah perjudian dalam talian, menangkap pihak yang bertanggungjawab, menyita peralatan dan barang yang digunakan untuk melakukan jenayah serta mengesahkan keterangan menerusi saksi pakar dapat merungkai caca marba undang-undang perjudian dalam talian di Malaysia.
Apa yang diperlukan kini adalah rangka perundangan yang berupaya menghantar mesej jelas kepada pemain dan penganjur perjudian dalam talian bahawa jenayah ini tidak dipandang enteng dalam gagasan sistem keadilan jenayah negara.
Agensi penguatkuasaan dan pendakwaan bersedia untuk menggempur jenayah ini demi kemaslahatan penduduk dan keharmonian Malaysia. Namun, akta sedia ada perlu diperkasa agar tidak lompong yang boleh menyebabkan kegagalan siasatan dan pendakwaan jenayah perjudian dalam talian.-UTUSAN
SHARIFAH ZULIA BALQISH S. AGIL
Calon Ijazah Kedoktoran Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara dalam bidang perjudian dalam talian Januari 2024










