SAUDARA PENGARANG,
KEMARAHAN adalah emosi yang normal, sama seperti kesedihan atau kegembiraan. Merasai kemarahan bukanlah masalah kesihatan mental.
Walau bagaimanapun, kemarahan yang berlebihan atau ketidakupayaan untuk mengawal kemarahan boleh menjadi masalah kerana ia boleh mengaburkan kebolehan kita untuk menilai dan membuat keputusan seperti biasa.
Ledakan kemarahan boleh memberi kesan yang ketara dalam pelbagai aspek hidup seseorang itu, termasuklah merosakkan hubungan kita dengan orang lain atau dikenakan tindakan undang-undang seperti didakwa kerana serangan (assault) ataupun pembunuhan (manslaughter).
Apabila anda berasa marah, terdapat respons fisiologi normal terhadap apa yang anda persepsikan sebagai ancaman tindak balas (fight- flight-freeze response).
Terdapat banyak faktor yang boleh menyumbang kepada ‘letupan’ kemarahan. Ini termasuk peristiwa atau insiden itu sendiri. Sebagai contoh, seseorang memotong anda di jalan dengan bahaya.
Faktor individu lain termasuklah keletihan atau mempunyai masalah lain seperti tekanan, kebimbangan, mania dan sebagainya.
Cara utama menguruskan kemarahan adalah melalui penanganan pemikiran dan tingkah laku. Penggunaan ubat tidak digalakkan kecuali jika terdapat penyakit mental seperti kemurungan, mania dan sebagainya.
Kesedaran diri adalah kunci dalam menguruskan kemarahan. Ini termasuk peka terhadap emosi marah dan apa yang mencetuskannya seperti tekanan atau masalah tidur.
Secara praktikal, untuk mengawal rasa marah adalah dengan mengasingkan diri dari perkara yang mencetuskan kemarahan tersebut. Carilah tempat yang tenang untuk menenangkan diri dan fokus untuk menenangkan diri melalui teknik pernafasan (bernafas perlahan-lahan dari diafragma).
Setelah rasa tenang, kalau boleh, eloklah kita mengkaji semula isu yang mencetuskan kemarahan itu dan mengambil pendekatan mendalam untuk menangani masalah asal.-UTUSAN
DR. NUR-RUN HUSSEIN
Pakar Psikiatri, Hospital Pakar KPJ Damansara










