UMNO ‘korban’ Teori Kitaran Ibnu Khaldun - Utusan Malaysia

UMNO ‘korban’ Teori Kitaran Ibnu Khaldun

TERSERAH kepada pemimpin dan ahli UMNO untuk memulihkan kembali imej parti itu sebagai berwajah sederhana dan berjuang untuk seluruh rakyat. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KEKALAHAN UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Disember lalu dilihat banyak pihak sebagai penolakan orang Melayu kepada parti tersebut. 

Adakah memang benar orang Melayu menolak UMNO sepenuhnya? Sekiranya kita meneliti Teori Kitaran Ibnu Khaldun, ahli sosiologi Islam itu menggariskan lima tahap yang akan berlaku kepada sesebuah kerajaan/pertubuhan/organisasi. 

Fasa pertama ialah membentuk identiti politik berasaskan ketuanan bangsa. UMNO berada pada fasa ini ketika era Malayan Union pada 1946 di mana parti itu menjadi yang utama membawa suara nasionalis bangsa.

Fasa kedua ialah perluasan kuasa dan pengaruh di samping membentuk kerajaan. Ini dapat dilihat setelah UMNO memenangi pilihan raya pertama dan mengukuhkan penguasaan kuasa sehingga tahun-tahun seterusnya. 

Fasa ketiga ialah kemewahan dan kesenangan hasil usaha pemimpin sebelumnya seperti era Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Presiden parti dan Perdana Menteri. 

Pada waktu ini, tiada siapa berani menggugat UMNO. Pilihan raya yang disertai UMNO akan berakhir dengan kemenangan dua pertiga parti tersebut di Dewan Rakyat. 

Kemudian, datang pula fasa keempat iaitu kelalaian dan berpuas hati dengan apa yang ada. Pemimpin UMNO mula bebas melakukan apa sahaja termasuk skandal, penyalahgunaan kuasa dan rasuah kerana berasakan mereka tidak akan jatuh. 

Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 membuka pintu kejatuhan buat UMNO. Inilah fasa terakhir kini dihadapi UMNO. Pakar sejarah, Ibnu Khaldun mentakrifkan fasa ini sebagai kejatuhan dan kehancuran.

Jauh di sudut sanubari orang Melayu, mereka masih mahu melihat UMNO bangkit semula seperti zaman keemasannya dahulu. Segalanya terserah kepada pemimpin dan ahli UMNO untuk memulihkan kembali imejnya sebagai parti berwajah sederhana dan berjuang untuk seluruh rakyat. Dirgahayu UMNO. – UTUSAN

MUHAMMAD ANDZARWIR ZAKARIA, Pertubuhan Literasi Demokrasi (Ajar Demokrasi) 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya