Tolak naratif ekonomi neoliberal keterlaluan - Utusan Malaysia

Tolak naratif ekonomi neoliberal keterlaluan

KEBANGKITAN pergerakan politik berhaluan kanan dan kiri mencerminkan keinginan rakyat untuk menuntut pengagihan kekayaan negara yang lebih saksama. - GAMBAR HIASAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

EKONOMI neoliberal yang  menyokong liberalisasi, perdagangan bebas dan pasaran terbuka adalah naratif dominan yang membimbing demokrasi dan ekonomi di Malaysia selama hampir 70 tahun. 

Dasar dan polisi kerajaan turut berkembang mengikut aliran sistem ekonomi berkenaan atas beberapa faktor seperti pengaruh kuasa Barat pasca kemerdekaan dan pelaburan langsung asing yang tinggi dari Eropah.

Kegagalan ekonomi neoliberal terserlah daripada krisis kewangan yang menjerumuskan ekonomi kepada tahap ketidaksamaan pendapatan melambung tinggi.

Kelemahan ini mendorong kemunculan pergerakan populis yang mengancam bukan sahaja pasaran terbuka dan perdagangan bebas tetapi kebebasan yang sepatutnya dilindungi.

Kebangkitan pergerakan politik berhaluan kanan dan kiri seolah-olah mencerminkan keinginan rakyat untuk menuntut perubahan daripada dasar ekonomi ditetapkan oleh naratif lama kepada pengagihan kekayaan negara yang lebih saksama.

Oleh itu, sudah tiba masanya kerajaan perpaduan merangka naratif baharu untuk membimbing ekonomi kita dengan cara menolak konsep neoliberalisme keterlaluan dan menggalakkan kesejahteraan sejagat.

Dalam pada itu, jika ditanya mana-mana siswazah lepasan program perniagaan atau ekonomi berkenaan tujuan penubuhan syarikat,  kemungkinan besar kita akan mendapat jawapan sama iaitu untuk memaksimumkan kekayaan pemegang taruh. 

Pandangan ekonomi neoliberal ini sangat tertanam dalam pemikiran sebahagian profesor dan ahli ekonomi sekolah perniagaan. Akibatnya membentuk pemikiran pengurus perniagaan atau syarikat yang mereka ajar dan lahirkan.

Memaksimumkan kekayaan pemegang taruh masih mendominasi pemikiran ekonomi dan ia adalah hasil langsung daripada idea-idea neoliberal.

Perspektif bahawa syarikat wujud untuk memaksimumkan kekayaan pemegang saham paling kerap dikaitkan dengan ahli ekonomi, mendiang Milton Friedman. Naratif ini kini mendominasi pemahaman ekonomi global. 

Membentuk perubahan sistem yang besar untuk mengatasi naratif ini memerlukan penstrukturan semula ekonomi. Model ekonomi baharu yang diperkenalkan harus berteraskan Ekonomi Madani untuk memperkasa kesejahteraan rakyat. 

Ia harus didukung dengan ampuh oleh organisasi tempatan dan global, universiti dan seluruh unit ekonomi dan perniagaan berdasarkan tanggapan bahawa institusi dan perniagaan utama negara harus beroperasi demi kesejahteraan dan maruah untuk semua.

Naratif ekonomi hari esok perlu dirangka dengan sangat berbeza daripada hari ini. Ia perlu mengiktiraf ekonomi adalah sebahagian daripada masyarakat dan alam semula jadi tetapi bukan satu-satunya perkara penting. 

Naratif baharu harus merangka tujuan perniagaan dengan sangat berbeza, mengambil kira pihak berkepentingan yang berbeza dan persekitaran semula jadi. 

Ia juga boleh menyediakan asas lebih munasabah dan berkesan untuk menyelesaikan krisis utama zaman kita seperti akses sejagat pendidikan dan kesihatan, perlindungan sosial dan perubahan iklim serta keterangkuman dan kesaksamaan peluang perniagaan dan sosial.

Dengan menumpukan kepada penghasilan nilai kolektif, bukan sekadar kekayaan pemegang taruh, maruah dan kesejahteraan boleh dipertingkatkan. 

Sebagai contoh, dengan menekankan penciptaan dan kestabilan pekerjaan; dasar gaji progresif, adil dan bermakna; peralihan kekayaan kewangan, kecekapan dan pertumbuhan kepada perindustrian baharu berteknologi hijau.

Langkah-langkah seperti Kertas Putih Dasar Gaji Progresif akan menggabungkan kesejahteraan dan maruah individu ke dalam ukuran ekonomi, berbanding hanya aktiviti atau petunjuk ekonomi yang hebat melalui unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). – UTUSAN

MUHAMMAD EHSAN KAMIL MOHAMAD RADZI, Eksekutif syarikat swasta/Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM)

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.