Pelajar tahfiz jangan ‘lupa’ al-Quran bila di universiti - Utusan Malaysia

Pelajar tahfiz jangan ‘lupa’ al-Quran bila di universiti

SETIAP penghafaz al-Quran perlu sentiasa berusaha untuk mengekalkan hafazan selagi hayat dikandung badan. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SABDA Nabi SAW, “Perumpamaan orang yang mahir dengan pembacaan al-Quran dan menghafaznya akan dibangkitkan bersama para malaikat yang mulia, manakala orang membacanya dan berusaha untuk menjaga hafazannya walaupun menghadapi kesukaran maka baginya dua ganjaran.”

Menjadi suatu trend pada masa kini apabila ramai dalam kalangan ibu bapa berlumba-lumba untuk menghantar anak mereka ke pusat tahfiz yang tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan kerana membayangkan kelebihan mempunyai anak penghafal al-Quran.

Bahkan sebahagian pengusaha bidang pendidikan turut memasukkan elemen ‘pelaris’ subjek tahfiz dalam produk pendidikan mereka disebabkan permintaan yang semakin meningkat.

Namun begitu, saya ingin menarik perhatian pembaca untuk menghayati satu hadis berbunyi, “Celakalah bagi sesiapa yang berkata: Aku lupa ayat al-Quran sekian-sekian,” sebaliknya hendaklah dia berkata: Aku dilupakan daripadanya. Sentiasalah membaca dan mengingati al-Quran, kerana ia lebih mudah terlepas daripada dada dan ingatan manusia daripada unta terlepas talinya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sebagai salah seorang pensyarah di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), saya dapat melihat peningkatan jumlah mahasiswa lepasan tahfiz saban tahun.

Oleh itu, setiap penghafaz al-Quran perlu sentiasa berusaha untuk mengekalkan hafazan selagi hayat dikandung badan walaupun telah masuk ke alam pekerjaan atau bidang pengajian lain di universiti.

Saya juga berpandangan, usaha untuk memartabatkan hafazan al-Quran perlu dipergiatkan lagi oleh pelbagai pihak termasuk ibu bapa, sekolah, alumni tahfiz dan kerajaan.

Ibu bapa perlu memastikan pemilihan sekolah tahfiz betul-betul sesuai untuk anak mereka dan mempunyai rekod pengurusan yang baik.

Pihak sekolah yang menyediakan pendidikan tahfiz pula perlu memastikan silibus tepat untuk pelajar serta guru harus mempunyai kelayakan diperlukan dan berpengalaman.

Alumni lepasan tahfiz yang meningkat saban tahun juga boleh mengambil inisiatif untuk membantu sekolah tahfiz mereka dengan bantuan kewangan, program motivasi pelajar dan perkongsian laluan pelajar tahfiz ke alam pekerjaan atau pendidikan tinggi.

Kerajaan juga perlu memperkasakan lagi program hafazan al-Quran sedia ada dengan mengetatkan lagi syarat penubuhan institusi tahfiz dengan kriteria-kriteria khusus bagi menjamin kualiti huffaz bakal dihasilkan.

Ini juga dapat mengelakkan eksploitasi jenama ‘tahfiz’ sebagai sumber keuntungan pihak-pihak tertentu.

Perlu juga ditubuhkan badan profesional yang memantau keberhasilan pelajar lepasan tahfiz dan memberi pengiktirafan kepada para huffaz dengan memperkenalkan ujian tahunan wajib bagi menguji hafazan mereka.

Jika lulus, mereka dibenarkan untuk meneruskan profesion sebagai guru tahfiz sebagaimana dilakukan terhadap graduan dalam bidang-bidang kedoktoran, kejuruteraan, guaman dan lain-lain.

Harus disemarakkan lagi program-program pengukuhan hafazan al-Quran dengan pemberian sagu hati kepada huffaz yang lulus ujian sebagaimana dilakukan di Johor, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Sebagai kesimpulan, mengekalkan hafalan al-Quran adalah satu tanggungjawab yang tiada penghujungnya. Ia juga memerlukan pengorbanan masa dan tenaga daripada penghafal itu sendiri.

Ingatlah pesanan Rasulullah SAW berkaitan al-Quran menerusi sabdanya yang bermaksud, “Sungguh dengan sebab kitab (al-Quran) ini, Allah akan mengangkat sekelompok kaum dan dengannya pula Dia akan merendahkan sekelompok kaum yang lain.” (Riwayat Muslim) – UTUSAN

DR. MOHAMED RASHID AB. RAZAK AL-HAFIZ, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya