Bina terusan dari Pulau Pinang ke Kelantan

Bina terusan dari Pulau Pinang ke Kelantan

BUKAN idea gila cadangan membina terusan bagi membolehkan kapal belayar dari Pulau Pinang ke Kelantan. – GAMBAR HIASAN/AMIR IRSYAD OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PERDANA Menteri Thailand, Srettha Thavisin baru-baru ini membangkitkan semula idea projek bernilai RM131 bilion bagi membina pelabuhan baharu Ranong di barat dan Chumphon di timur negara itu yang akan dihubungkan melalui jambatan darat sama ada landasan kereta api atau lebuh raya.

Idea Jambatan darat itu adalah satu cadangan luar biasa yang boleh memberi impak besar kepada negara jiran seperti Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Pada asalnya kerajaan Thailand ingin membuat terusan di Segenting Kra untuk menghubungkan laluan laut dari barat ke timur negara itu, namun kemungkinan disebabkan faktor-faktor tertentu seperti kos dan kesan kepada flora dan fauna, cadangan terusan tersebut digantikan dengan jambatan darat.

Manfaat daripada pembinaaan infrastruktur ini seperti yang dinyatakan oleh Thailand adalah pengurangan masa perjalanan lebih kurang empat hari dan pengurangan kos 15 peratus.

Cadangan daripada Thailand ini mendapat perhatian di Parlimen Singapura. Namun, negara itu tidak risau kerana sedang membina Pelabuhan Tuas yang akan mengintegrasi semua pelabuhan di Singapura.

Ia akan beroperasi secara automasi sepenuhnya dan apabila siap dan menjadi pelabuhan terbesar di dunia dengan kapasiti 65 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU). Soalnya, apakah strategi Malaysia?

Sekiranya Thailand membuat jambatan darat tersebut, saya berpandangan ada kewajaran Malaysia membina terusan menghubungkan Pulau Pinang ke Kelantan. Ini dapat memberi laluan kepada kapal-kapal untuk meneruskan perjalanan dari barat ke timur dan sebaliknya.

Kemudahan pelabuhan di Pulau Pinang hendaklah dinaik taraf supaya memenuhi keperluan syarikat-syarikat perkapalan. Di Kelantan, pelabuhan Tok Bali boleh ditambah baik.

Langkah ini boleh menjadi pengubah keadaan di rantau ini. Terpulanglah kepada kerajaan menjalankan kajian kebolehlaksanaan pembinaan terusan tersebut.-UTUSAN

MOHAMAD FAISAL HAFIZ MOHAMED RAMLI
Pegawai bahagian dasar dan penyelidikan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya