Akhirnya isu cecair nikotin bebas dijual selesai - Utusan Malaysia

Akhirnya isu cecair nikotin bebas dijual selesai

CECAIR nikotin telah dikeluarkan dari Akta Racun 1952 pada awal tahun ini atas tujuan membolehkannya dikenakan cukai. - GAMBAR HIASAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA 30 November lalu, Dewan Rakyat lalu telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023. 

Ini bermakna Malaysia kini setapak lagi ke arah menguatkuasakan akta khas untuk mengawal jualan dan pembelian produk tembakau, bahan merokok, dan produk pengganti tembakau.

Bagi saya, kelulusan RUU ini amat bermakna secara peribadi, kerana saya kehilangan dua ahli keluarga rapat akibat penyakit berkaitan tembakau, termasuk seorang abang yang meninggal akibat kanser paru-paru.

Undang-undang khusus untuk mengawal selia rokok termasuk vape, sepatutnya telah wujud sejak dulu lagi, memandangkan betapa bahayanya tabiat ini. 

Setiap tahun, kira-kira 27,000 rakyat Malaysia meninggal dunia akibat penyakit berkaitan merokok. Sebelum ini, undang-undang berkaitan merokok tergolong di bawah Peraturan Produk Tembakau 2004, yang terletak di bawah Akta Makanan 1983. 

Bayangkan, negara tidak ada akta khusus untuk mengawal tabiat yang amat memudaratkan kesihatan rakyat. Bila undang-undang baru ini digazetkan nanti, kerajaan akan dapat mengawal dengan lebih ketat lagi aktiviti seperti jualan produk tembakau dan produk berkaitan seperti rokok dan vape.

Antara lain, RUU ini bertujuan untuk melarang sebarang bentuk iklan, promosi atau penajaan produk-produk ini. Setelah diwartakan nanti, undang-undang ini juga akan mengawal pembungkusan produk tembakau dan produk berkaitan.

Peruntukan penting lain dalam undang-undang yang bakal diwartakan ini termasuk larangan jualan produk yang mengandungi cecair nikotin kepada golongan muda.

Seperti yang kita sedia maklum, cecair nikotin telah dikeluarkan dari Akta Racun 1952 pada awal tahun ini atas tujuan percukaian. Ini bermakna, sesiapa sahaja, tanpa mengira umur, boleh membeli dan menggunakan produk vape secara sah.

Tetapi dengan adanya akta baharu ini, kelompangan undang-undang (lacuna) dapat segera diatasi. – UTUSAN

RAZIF ABDUL SHUKOR, Petaling Jaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya