Pemikiran analitik, kritikal, aset berharga pempengaruh media sosial - Utusan Malaysia

Pemikiran analitik, kritikal, aset berharga pempengaruh media sosial

ANUGERAH TikTok Malaysia 2023 yang julung kalinya diadakan dilihat sebagai bukti yang jelas bahawa pempengaruh media sosial semakin diiktiraf dalam kalangan masyarakat umum.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DALAM era digital yang semakin berkembang, media sosial menjadi platform utama untuk berkomunikasi, berkongsi maklumat dan mempengaruhi masyarakat.

Jika dahulu cita-cita anak muda untuk menjadi tokoh dalam bidang profesional, seperti pendidik, ahli badan beruniform, jurutera, doktor dan sebagainya, namun kini, fokus mereka adalah menjadi pempengaruh di media sosial.

Ternyata, menjadi seorang pempengaruh ini bukanlah hanya semata-mata untuk menjadi terkenal sebaliknya memikul tanggungjawab besar.

Oleh itu, untuk kekal relevan, popular dan berkredibiliti, maka mereka perlu mempunyai pemikiran yang analitik dan kritikal.

Mereka bukan sahaja boleh mencipta kandungan media sosial yang kreatif dan menarik namun menggunakan kandungan tersebut bagi membentuk budaya dan mengubah paradigma pengikut ke tahap yang lebih baik.

Penganjuran Anugerah TikTok Malaysia 2023 yang julung kalinya diadakan dilihat sebagai bukti yang jelas bahawa pempengaruh media sosial semakin diiktiraf dalam kalangan masyarakat umum. Apatah lagi dengan tema Yang Gah di Skrin Kecil.

Memandangkan interaksi bersama pengikut adalah kunci untuk kekal relevan di media sosial maka para pempengaruh ini juga perlu memberikan komentar, pertanyaan dan maklum balas pengikut dengan baik.

Keadaan ini pastinya akan menguji kemahiran komunikasi. Mereka perlu mempunyai intuisi dan kecerdasan emosi tinggi bagi memahami perasaan dan keperluan pengikut serta mengambil tindakan sesuai.

Pengikut sentiasa mencari kandungan yang baharu dan menarik. Jadi, pempengaruh harus berani mengembangkan kemampuan kreativiti dan mencuba perkara-perkara baharu.

Pemikiran analitik dapat membantu mereka melihat kandungan mana yang sesuai dengan situasi semasa dan apa yang tidak, sementara pemikiran kritikal membantu meningkatkan kualiti kandungan.

Bahkan, mereka perlu mampu beradaptasi dengan perubahan trend dan keperluan pengikut serta membuat keputusan berasaskan data dan pemikiran mendalam.

Akhirnya, pemikiran analitik dan kritikal adalah aset berharga bagi pempengaruh media sosial yang ingin terus berjaya dalam jangka masa panjang. – UTUSAN

NURUL NISHA MOHD. SHAH dan MOHD. RADZMAN BASINON
Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya