JELEBU: Pembinaan tiga jambatan di daerah ini yang musnah akibat banjir pada 18 Disember 2021, telah siap menerusi peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berjumlah RM1.5 juta.
Tiga jambatan itu di Kampung Chalin, Kampung Sungai Limau dan Kampung Lubuk Ganchung. Ia menjadi laluan utama kira-kira 300 penduduk di tiga kampung berkenaan dan berstatus jambatan pertanian.
Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pembinaan jambatan itu turut mencatat sejarah, menjadi projek jambatan pertama dilaksanakan oleh Unit Teknikal KKDW Negeri Sembilan.
Katanya, jambatan itu amat penting kerana menjadi laluan penduduk kampung ke jalan utama dan ke kebun-kebun berhampiran.
“Jambatan sepanjang 36 meter itu mula dibina pada Mei tahun lalu dan telah siap sepenuhnya pada Februari dan Mac lalu.
“Biarpun pembinaannya lewat atas pelbagai faktor, penantian penduduk bagi mendapatkan jambatan baharu sudah pun berakhir,” katanya ditemui selepas Majlis Penyerahan Jambatan di Kampung Chalin, semalam.
Sementara itu, Jalaluddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi negeri berkata, jambatan di Kampung Bemban yang juga musnah dalam banjir besar, akan dibina tidak lama lagi.
Katanya, ketika ini kerajaan dalam proses lantikan kontraktor bagi membina jambatan kekal merentasi Sungai Triang membabitkan kos dianggarkan lebih RM10 juta. – UTUSAN










