Awasi tanda-tanda remaja hadapi gejala ketagih gajet - Utusan Malaysia

Awasi tanda-tanda remaja hadapi gejala ketagih gajet

SATU daripada empat remaja dilaporkan mengalami tekanan emosi, manakala satu daripada lapan remaja berumur 10 hingga 19 tahun menghadapi gangguan kesihatan mental akibat ketagihan gajet. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, kesan media sosial ke atas kesihatan mental remaja Malaysia kian mendapat perhatian. Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022, satu daripada empat remaja dilaporkan mengalami tekanan emosi, manakala satu daripada lapan remaja berumur 10 hingga 19 tahun menghadapi gangguan kesihatan mental.

Lebih membimbangkan, satu daripada 10 remaja mempunyai niat untuk membunuh diri. Angka-angka ini menunjukkan peningkatan berbanding lebih sedekad lalu yang turut berpunca daripada aktiviti permainan dalam talian.

Gejala ketagih gajet boleh mendatangkan kesan-kesan sampingan termasuk kesukaran pembelajaran, konflik sosial dengan rakan sebaya serta perbalahan keluarga. Ini boleh dilihat melalui tanda-tanda seperti mengasingkan diri daripada aktiviti harian dan keasyikan terhadap aktiviti dalam talian.

Bahkan ada hubung kait antara permainan video yang ganas dengan tingkah laku agresif pada kanak-kanak. Permainan yang melibatkan pencarian musuh atau menyelesaikan misi yang agresif boleh mencetuskan tindak balas ganas dalam tempoh yang singkat.

Stigma pesakit terhadap rawatan kesihatan mental menambah lagi penderitaan mereka. Saya pernah melihat kes remaja yang pada awalnya semakin pulih dengan terapi dan ubat-ubatan. Bagaimanapun, dia mengalami masalah kesihatan semula setelah tidak meneruskan rawatan.

Pelbagai rawatan dan terapi mesti disesuaikan dengan keperluan individu serta beberapa faktor lain seperti umur, sokongan, kebolehan yang sedia ada untuk mengatasi masalah, ciri-ciri peribadi serta penerimaan diagnosis atau rawatan oleh kanak-kanak dan keluarga mereka.

Antaranya, kaunseling untuk menangani tekanan, terapi tingkah laku kognitif, terapi menghadapi kesedihan, terapi trauma bagi yang menghadapi kisah silam pada zaman kanak-kanak, terapi bermain untuk kanak-kanak kecil bagi membolehkan mereka meluahkan perasaan, terapi untuk menangani konflik keluarga serta ubat-ubatan seperti antidepresan dan antikegelisahan untuk simptom yang teruk.

Justeru, ibu bapa perlu mencari rawatan dan nasihat yang sewajarnya daripada pakar kesihatan yang memahami cabaran untuk menghadapi ketagihan permainan dalam talian ini. Kumpulan sokongan boleh menawarkan pertolongan kepada para remaja yang berhadapan dengan cabaran ini.

Kanak-kanak akan dapat merasakan ketenangan dalam persekitaran di mana orang dewasa dan rakan-rakan menerima mereka seadanya, tanpa perlu mengubah diri mereka untuk menjadi orang lain. – UTUSAN

DR. TEE BEE CHIN
Perunding Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja, Sunway Medical Centre

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN