KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan menerima pemberian Pemberian Mengikut Bilangan Orang sebanyak RM291.06 juta daripada Kerajaan Persekutuan sejak 2015.
Menteri Besar, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, bermula 2015, kerajaan negeri menerima RM24.75 juta, disusuli RM25.06 juta pada 2016, RM25.37 juta pada 2017 dan RM25.69 juta pada 2018.
Katanya, pada 2019, pemberian tersebut kepada kerajaan negeri meningkat kepada RM26.03 juta, RM26.38 juta pada 2020 dan RM26.75 juta pada 2021.
“Pada tahun 2022, pemberian mengikut bilangan orang daripada Pusat kepada kerajaan negeri adalah RM27.14 juta, disusuli RM27.54 juta pada 2023, RM27.96 juta pada 2024 dan RM28.9 juta pada tahun ini,” katanya ketika menjawab soalan Wan Rohimi Wan Daud (Pas-Melor) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Mohd. Nassuruddin berkata, beliau telah mengemukakan usul kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar geran per kapita dikaji semula memandangkan kadar semasa yang diguna pakai kini telah berkuat kuasa sejak 1 Januari 2002.
Katanya, perkara yang dibangkitkan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri pada tahun lalu itu telah dipersetujui secara bersama dan mendapat respons agak positif daripada Anwar.
“Perdana Menteri sedar kadar ini kadar lama dan sepatutnya dikaji semula dan ASlhamdulillah dalam Mesyuarat Kewangan Negara Tahun 2025, beliau (Anwar) bersetuju menaikkan kadar pemberian mengikut kepala dengan kenaikan secara purata 4.9 peratus, dibayar mulai tahun 2026 melibatkan negeri-negeri,” katanya. – UTUSAN











