SAUDARA PENGARANG,
KITA baru sahaja menyambut Maulidur Rasul, kelmarin sebagai mengingati kelahiran junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.Pelbagai aktiviti dilakukan untuk menunjukkan rasa kecintaan kepada Nabi SAW melalui semangat kerjasama antara penduduk dan masyarakat setempat.
Kita sebagai umat Rasulullah SAW sudah pasti perlu memahami dan menghayati sirah baginda kerana ada panduan perjalanan kehidupan untuk semua. Usahlah dibiarkan perbezaan politik menjadi penghalang kepada penyatuan umat Islam pada hari ini khususnya di Malaysia.
Para pemimpin dalam kalangan orang Islam, perlu mengambil berat soal kepimpinan kerana tanggungjawabnya sangat berat.
Dengan itu, dalam merealisasikan Malaysia Madani, sudah pasti pembangunan yang akan dilakukan perlu menjadikan Nabi SAW sebagai suri teladan dari pelbagai aspek dan sudut. Ia melibatkan urusan tatakelola negara, soal ekonomi, soal kerjasama serantau, soal pembangunan masyarakat, pembangunan pendidikan dan sebagainya.
Namun, apa yang penting dan perlu diberikan perhatian adalah menjadikan masyarakat sebagai ummah madani yang boleh menjadi pemangkin kepada pembangunan negara.
Dengan adanya agenda penyatuan ummah madani, secara langsung akan dapat merealisasikan apa yang dibawa ketika ini supaya semua pihak sama-sama dapat menikmati nilai kehidupan yang sama untuk manfaat bersama tanpa meninggalkan mana-mana golongan.
Akhirnya, sempena dengan bulan kelahiran junjungan mulia ini, setidak-tidaknya kita faham dan sentiasa ingat bahawa dengan adanya Nabi SAW itulah yang menjadi penyebab utama kita dapat apa yang kita sedang rasai kini. Kalau tidak kerana baginda, mungkin kita hidup tanpa ada ketamadunan tanpa ada peraturan, kehidupan masih kucar kacir, tiadanya kasih sayang dan tiada segalanya.
Paling tepatlah untuk dikatakan agama Islam yang dibawa Nabi SAW adalah gaya kehidupan yang paling ideal untuk semua umat manusia zaman berzaman.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. KHADHER AHMAD
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya