Bawa ungkapan ‘tarik balik’, ‘duduk’, ‘bangun’ di Parlimen ke Putrajaya - Utusan Malaysia

Bawa ungkapan ‘tarik balik’, ‘duduk’, ‘bangun’ di Parlimen ke Putrajaya

RAKYAT berbilang kaum menyertai program Keretapi Sarong 2023 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 16 September lalu. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA 16 September lalu, lebih 10,000 rakyat berbilang kaum menunjukkan rasa cintakan negara dengan menyertai program persembahan kilat berkumpulan, Keretapi Sarong 2023 yang berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Program tersebut adalah anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menghimpunkan rakyat dengan mengenakan pelbagai jenis kain sarung dan pakaian tradisional Melayu, Orang Asli, Iban, Kadazan, Baba Nyonya dan lain-lain.

Mereka menggunakan pengangkutan awam terutama transit aliran ringan (LRT), transit aliran massa (MRT) dan KTM Komuter.

Dalam perhimpunan itu, para peserta menunjukkan ekspresi cintakan tanah air dengan menari dan menyanyi lagu-lagu rakyat serta lagu berentak irama Malaysia.

Para peserta turut diajak bermain permainan tradisional seperti congkak, terompah kayu dan dam haji.

Melihat kepada kejayaan program berkenaan, saya mencadangkan Putrajaya dijadikan tempat himpunan rakyat mempamerkan pakaian tradisional di samping mengeratkan kembali nostalgia dan tradisi melalui sukan rakyat seperti tarik tali, tarik upih, duduk kerusi irama, tuju tin dan timang bola takraw.

Jika dijadikan acara tahunan, program ini mampu memberi keceriaan kepada rakyat dan pengunjung luar bagi tujuan meningkatkan jalinan permuafakatan kukuh antara pelbagai kaum.

Putrajaya adalah pusat pentadbiran negara. Justeru, pemilihan Putrajaya adalah tepat bagi memberi peluang dan pendedahan kepada generasi bandar tentang kebudayaan dan nilai tradisi yang menjadi pegangan setiap kaum.

Selain itu, sukan rakyat ini sebenarnya mampu menjadikan masyarakat sedar kepentingan bersukan dan pentingnya penjagaan kesihatan diri dengan melakukan aktiviti beriadah.

Acara sukan rakyat juga dapat dimeriahkan lagi dengan penglibatan ahli-ahli Parlimen bagi menunjukkan bakat dan menjadi contoh kepada rakyat pelbagai kaum.

Pengunjung pasti teruja melihat bakat ahli-ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang turun menyantuni orang ramai dan dalam masa sama terlibat dengan sukan rakyat.

Ungkapan ‘tarik balik’, ‘bola tanggung’, ‘duduk’, ‘bangun’ dan pelbagai teriakan biadab didengari di dalam di Parlimen dapat juga digunakan ketika sukan rakyat dan ia pasti meredakan tekanan dan bahang perselisihan sesama wakil rakyat.

Program sebegini juga mampu menjana pendapatan rakyat khususnya peniaga kecil dan sederhana melalui gerai-gerai yang disediakan oleh penganjur.

Selain itu, rakyat juga dapat menyumbang kepada sektor pelancongan dengan hadir memeriahkan program tersebut.

Kehidupan bermasyarakat perlu diterjemahkan melalui pengisian yang mampu membangkitkan semangat kecintaan terhadap nilai, budaya dan keyakinan rakyat terhadap negara tercinta. – UTUSAN

DR. ZURAIMY ALI, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN