Pinjaman perumahan lebih penting berbanding hutang

Pinjaman perumahan lebih penting berbanding hutang peribadi

UTAMAKAN untuk membuat pinjaman bagi tujuan membeli rumah pertama kerana ia lebih menguntungkan pada jangka masa panjang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BERDASARKAN statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia, sejumlah 1,829 kes kebankrapan didaftarkan sehingga Mei lalu.

Antara penyumbang utama kepada jumlah ini ialah mereka berusia antara 30 hingga 60 tahun iaitu lebih 90 peratus daripada jumlah kes yang didaftarkan.

Antara punca kebankrapan tertinggi yang direkodkan adalah kegagalan membayar balik hutang peribadi. Sebab utama rakyat Malaysia membuat pinjaman peribadi antaranya adalah untuk membiayai kos kecemasan, percutian, perkahwinan, deposit kereta atau rumah.

Tahukan anda bahawa terdapat cara bagaimana untuk mengelakkan diri daripada terjebak daripada membuat pinjaman peribadi tersebut?

Pertama, ukurlah baju di badan sendiri. Masyarakat kita sering dimomokkan dengan gaya hidup sebagai penentu status seseorang itu dalam masyarakat. Contohnya, seorang eksekutif bergaji RM10,000 sebulan, mestilah mampu beli kereta jenama antarabangsa yang harganya lebih RM150,000.

Sedangkan hakikatnya, penasihat kewangan akan menyarankan golongan ini untuk membeli kereta yang harganya tidak lebih 10 hingga 12 kali ganda daripada gaji diterima.

Sama juga dengan mentaliti masyarakat yang suka mengadakan majlis perkahwinan di luar kemampuan sebenar keluarga semata-mata untuk menjaga imej masing-masing.

Adalah lebih baik duit yang digunakan untuk berlebih-lebihan dalam hidup ini digunakan untuk perancangan masa hadapan yang memberikan pulangan positif seperti membeli rumah dan menabung untuk pengajian anak-anak.

Kedua, buat pinjaman yang menjanjikan pulangan pada masa akan datang. Sebagai contoh, pinjaman dibuat bagi tujuan membeli rumah pertama.

Pulangan bagi pinjaman ini (dalam jangka masa panjang) adalah dalam bentuk sebuah rumah untuk dijadikan tempat berteduh keluarga. Kita tidak lagi perlu risau akan kebajikan anak dan isteri atau keluarga sekiranya apa-apa berlaku pada diri kita.

Ketiga, jadikan simpanan sebagai satu perkara wajib setiap kali gaji. Semua maklum, dengan keadaan ekonomi sekarang, simpanan merupakan satu kemewahan kerana duit untuk menyara keluarga pun hanya cukup-cukup makan.

Tetapi pernahkah kita cuba untuk simpan walaupun sedikit bagi tujuan kecemasan? Berapa yang dimaksudkan dengan sedikit? Jawapannya terletak di tangan masing-masing. Jika anggap RM10 paling sedikit, simpanlah.

Dari semasa ke semasa, cuba tambah simpanan. Kemudian boleh tambah portfolio simpanan daripada hanya tabung kecemasan kepada tabung pendidikan dan tabung-tabung lain.

Keempat, semak status kemampuan bayaran balik sebelum membuat hutang. Institusi peminjam wang akan membuat semakan komitmen kewangan sedia ada sebelum memberikan pinjaman.

Namun, institusi ini gagal mengambil kira komitmen di luar daripada dokumen yang disediakan, iaitu komitmen keluarga seperti kos menguruskan ibu/bapa atau anak yang sakit, kos tuisyen anak dan seumpamanya.

Hanya kita yang tahu apakah komitmen kewangan bulanan yang perlu diketepikan bagi tujuan-tujuan ini. Oleh demikian, ambil kira semua komitmen ini sebelum membuat keputusan untuk membuat pinjaman.

Untuk mengelak berbelanja lebih daripada kadar kemampuan, kita perlu kenal pasti yang manakah keperluan dan yang manakah kehendak. Fokus untuk penuhi keperluan dahulu sebelum memenuhi kehendak tanpa perlu mengambil pinjaman peribadi.-UTUSAN

DR. KHADIJAH MD. ARIFFIN
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya