Minyak mahal selesai jika guna hidrogen - Utusan Malaysia

Minyak mahal selesai jika guna hidrogen

SARAWAK lebih terkedepan dalam penggunaan hidrogen termasuk sebagai bahan api pengangkutan awam. – FB SARAWAK METRO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KETIKA dunia berusaha untuk menangani isu perubahan iklim dan kekangan sumber, masyarakat antarabangsa termasuk Malaysia sedang giat beralih sepenuhnya kepada tenaga boleh diperbaharui (RE) seperti hidrogen.

Hidrogen adalah sejenis gas yang tidak berwarna, tidak berbau dan tiada rasa. Apabila dibakar bersama oksigen akan menghasilkan air.

Kegunaan hidrogen adalah pelbagai termasuk sebagai sumber bahan api untuk pengangkutan dan bahan api penerbangan mampan (SAF). Oleh itu, terdapat keperluan segera untuk meningkatkan pembangunan dan pembinaan loji hidrogen.

Dianggarkan industri hidrogen yang tidak mencemarkan alam sekitar akan menyumbang antara RM49 bilion hingga RM61 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2030.

Ia juga dijangka menjana 45,000 peluang pekerjaan serta membantu Malaysia mencapai sasaran pengurangan gas rumah hijau dalam tempoh tujuh tahun akan datang.

Dalam pada itu, antara kelebihan hidrogen adalah mempunyai ketumpatan tenaga yang lebih tinggi iaitu tiga kali ganda tenaga diesel dan petrol.

Jika dibandingkan dari segi kos bagi setiap kilometer, penggunaan hidrogen adalah lebih murah iaitu kira-kira lapan sen untuk satu kilometer manakala petrol pula antara 20 hingga 30 sen satu kilometer.

Malah, ketumpatan tenaga gravimetrik hidrogen yang unggul menjadikannya alternatif paling sesuai untuk penyimpanan berskala besar tenaga boleh diperbaharui, dengan potensi besar untuk menggantikan mod penjanaan tenaga sedia ada sebagai sumber bahan api lebih bersih dengan pelepasan karbon sifar.

Hal ini kerana, tenaga ini menghasilkan air apabila dibakar sekali gus memastikan tiada pencemaran selain turut mampu membawa kenderaan lebih jauh daripada kereta biasa.

Pada masa sekarang, dua loji hidrogen sedang dibina di Sarawak melalui kerjasama dengan syarikat Jepun dan Korea Selatan yang dijangka siap sepenuhnya pada 2027. Perkembangan ini akan membolehkan Sarawak menjadi pengeluar utama hidrogen bukan saja kepada Malaysia tetapi di peringkat serantau. – UTUSAN

PROF. MADYA DR. HALIZA ABDUL RAHMAN, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya