Bimbang aliran keluar dana asing dari pasaran ekuiti kita - Utusan Malaysia

Bimbang aliran keluar dana asing dari pasaran ekuiti kita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KEBIMBANGAN mengenai kenaikan faedah global dan keputusan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini turut mempengaruhi aliran keluar dana asing berterusan dari pasaran ekuiti negara.

Kebimbangan terhadap pasaran ekuiti negara ada asasnya apabila penyertaan pelabur asing pada ketika ini sekitar 19.9 peratus, iaitu paras terendah dalam sejarah pasaran ekuiti Malaysia.

Kestabilan politik dilihat ada signi­fikan kepada keputusan pelabur asing yang mengambil sikap berhati-hati dengan dasar-dasar akan diperkenalkan oleh setiap kerajaan memerintah. Untuk rekod, sejak 2018, negara mempunyai tiga perdana menteri dalam sepenggal Parlimen.

Meskipun enam PRN nanti tidak akan menjejaskan keputusan peringkat Parlimen tetapi ia tetap akan memberi impak kepada ketidakstabilan politik sehingga selesai terbentuknya kerajaan negeri di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Pelabur asing lebih berminat untuk melabur dalam negara yang mempunyai kestabilan politik di mana kerajaan dapat membentuk dasar dan hala tuju jelas dan komited mengembangkan ekonomi.

Justeru, kepimpinan yang baik dapat menyakinkan pelabur asing untuk kembali melabur dan membeli saham syarikat-syarikat Malaysia.

MIDF Research melaporkan, pelabur asing terus kekal sebagai penjual bersih di Bursa Malaysia untuk minggu ke-12 berturut-turut dengan menyaksikan aliran keluar asing bersih mencecah RM254.1 juta.

Sepanjang 27 minggu tahun ini, jumlah aliran keluar asing bersih direkodkan sebanyak RM4.45 bilion bagi tempoh jualan selama 21 minggu manakala aliran masuk asing bersih pula direkodkan sebanyak RM83 juta sepertimana dilaporkan dalam Laporan Aliran Dana MIDF Research untuk minggu berakhir 7 Julai lalu.

Memetik kenyataan Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar, prestasi Bursa Malaysia dijangka pulih apabila persekitaran kadar faedah global lebih stabil dan menarik minat baharu serta aliran masuk dana asing ke rantau ini.

Beliau seterusnya menyatakan aliran keluar bersih dana asing sebanyak RM4.2 bilion pada separuh pertama 2023 adalah disebabkan perbezaan kadar faedah antara Malaysia dan Amerika Syarikat yang mendorong pelabur asing meningkatkan pegangan aset selamat semasa tempoh ketidaktentuan ekonomi global.

Komitmen kerajaan seperti memberi intensif pelaburan termasuk pengurangan kadar cukai, pengecualian cukai untuk pelaburan dalam sektor-sektor mustahak serta kemudahan pembiayaan kewangan khas kepada pelabur asing dijangka dapat menarik minat pihak luar untuk menjadikan negara kita lebih kompetitif dalam menarik minat pelabur asing.

Infrastruktur yang baik dan tenaga kerja berkemahiran juga antara elemen penting bagi menarik minat pelabur asing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hantaran di Facebook menyatakan komitmen dan kesungguhan kerajaan menarik pelaburan asing melalui Dasar Pelaburan Baharu (NIP) yang akan datang menerusi pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 pada bulan depan.

Justeru, diharapkan semua pihak termasuk pembangkang agar kurangkan politiking demi kestabilan politik. Politik yang stabil akan memberi kesan positif bagi menarik kemasukan dana asing ke negara ini. – UTUSAN

NADZIR AWANG AHMAD @ SAID, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya