Sakit mental kedua serius selepas jantung - Utusan Malaysia

Sakit mental kedua serius selepas jantung

STIGMA dan diskriminasi terhadap individu dengan masalah kesihatan mental harus dihapuskan. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KESIHATAN mental sering dikaitkan dengan keupayaan seseorang untuk menjalani, menghargai dan menikmati hidup dalam cara yang positif, produktif dan seimbang.

Bagi individu yang mempunyai kesihatan mental buruk, tekanan dihadapi mengakibatkan mereka mengalami kemurungan.

Masalah kemurungan bukan hanya melibatkan perubahan emosi dan tingkah laku, malah boleh menyumbang berlaku penyakit-penyakit kronik lain seperti jantung, diabetes dan kanser.

Berdasarkan Laporan Statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019, kira-kira setengah juta atau 2.3 peratus orang dewasa di Malaysia menghadapi kemurungan.

Peningkatan kes-kes melibatkan kesihatan mental menjadikan ia sebagai masalah kedua terbesar rakyat Malaysia selepas penyakit jantung.

Dalam pada itu, pandemik Covid-19 telah melonjakkan lagi peningkatan kes berkaitan masalah kesihatan mental. Kejadian membunuh diri juga turut meningkat seiring peningkatan kes berkaitan kesihatan mental.

Malah, laporan Majlis Keselamatan Negara pada Mac lalu mendedahkan terdapat 212,319 panggilan diterima oleh Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (MHPSS) pada 2021 berbanding 2020 hanya 44,061.

Peningkatan sebanyak lima kali ganda ini menunjukkan masalah kesihatan mental terus meningkat di Malaysia.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa turut melaporkan terdapat 3.35 peratus daripada 76,381 petugas kesihatan dari pelbagai skim perkhidmatan dikesan mengalami gejala tekanan, keresahan serta kemurungan pada tahun lalu menerusi ujian saringan kesihatan mental.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pula memaklumkan pihaknya mengenal pasti pelbagai perkara yang menyumbang kepada masalah kesihatan mental warga pendidik termasuk guru duka lara, beban kerja dan tekanan lain.

Oleh itu, stigma dan diskriminasi terhadap individu dengan masalah kesihatan mental harus dihapuskan agar mereka berani melangkah ke depan untuk merawat masalah tersebut bagi mengelak kita terus berada di ambang krisis kesihatan mental. – UTUSAN

SITI ROSNITA SAKARJI & NURBARIRAH AHMAD, Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya