Gaya selebriti popular ini sering mencuri tumpuan setiap kali melangkah ke acara fesyen.
Lebih-lebih lagi dengan citarasa fesyennya yang gemar menyarung blazer lelaki sebagai pelengkap gaya.
Shalma Ainaa berkata, helaian itu merupakan item wajib dalam koleksi pakaiannya kerana mudah digayakan dalam pelbagai suasana.
Justeru, tidak hairanlah apabila dia memiliki satu almari yang hanya dipenuhi blazer sahaja.
“Saya sukakan blazer lelaki kerana kerana potongannya yang besar (oversized), ringkas serta timeless tanpa terikat dengan musim atau trend semasa.
“Malah, ia juga mudah disuai padan dan boleh dipakai berulang kali sama ada untuk acara formal atau ketika bersantai,” katanya baru-baru ini.
Shalma Ainaa berkata, soal jenama bukan keutamaannya asalkan selesa, cantik dan praktikal.
Antara blazer dalam koleksinya turut dibeli di kedai barangan terpakai serendah RM10.
Katanya, seseorang tidak semestinya perlu berbelanja besar atau mahal untuk tampil cantik, sebaliknya hanya perlu bijak menyuai padan pakaian dan menggayakannya.
“Kebiasaannya saya dapat inspirasi fesyen ketika melancong dengan tengok stail orang-orang di sekeliling.
“Daripada situ, saya dapat ilham cara pemakaian untuk digayakan nanti,” katanya.









