Jenama fesyen kontemporari COS, yang terkenal dengan gaya minimalis ikonik, kini melangkah ke dunia haruman.
Koleksi wangian pertamanya, COS perfumery, mula dilancarkan musim bunga ini dengan diadun di Grasse.
Grasse merupakan sebuah bandar kecil di selatan Perancis yang terkenal di seluruh dunia sebagai ibu kota minyak wangi.
Ia dianggap sebagai tempat kelahiran dan pusat utama haute parfumerie, seni menghasilkan wangian mewah secara halus dan berkualiti tinggi.
Bagi pencinta haruman yang menghargai kesempurnaan dalam setiap butiran, koleksi eau de parfum ini pasti memberi pengalaman baharu.
Bukan sekadar semburan, tetapi satu gaya hidup.
Sebanyak empat haruman eksklusif ditawarkan iaitu auburn, mythe, fleuriste dan solaire.
Auburn, wangiannya mewah dan halus, menggabungkan vanila gelap dengan nota kayu, manakala mythe pula bersifat kompleks dan misteri gabungan halia segar serta buah pelaga.
Diikuti fleuriste, aroma mawar moden dibalut musk lembut dan solaire pula menampilkan sentuhan cistus serta amber yang hangat.
Melengkapkan koleksi ini ialah empat jenis lilin aromatik mewah iaitu fuguier du jardin, voyage epices, cabane de bois dan cuir en fleur.









