Perkemas kaedah kendali ibu bapa tidak puas hati - Utusan Malaysia

Perkemas kaedah kendali ibu bapa tidak puas hati

JALINAN kerjasama antara pihak sekolah dan ibu bapa perlu diperkemaskan bagi memastikan segala isu dapat ditangani dengan tenang. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, tular di media sosial berkaitan pelbagai masalah melibatkan ketidakpuasan hati ibu bapa terhadap tindakan pihak sekolah yang dilihat gagal menangani beberapa isu sehingga membawa kepada laporan polis dan tindakan mahkamah.

Oleh itu, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu mewujudkan satu kerangka dasar bagi memastikan kepimpinan semua peringkat di sekolah, pejabat pendidikan daerah (PPD) dan jabatan pendidikan negeri (JPN) memperkemaskan jalinan kerjasama dengan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG).

Perkara pertama perlu diperkemaskan ialah kepemimpinan sekolah perlu menangani isu ketidakpuasan hati ibu bapa dengan cara mengikut etika profesionalisme keguruan.

Jika sesuatu isu gagal ditangani maka kepemimpinan sekolah perlu merujuk kepada PPD atau JPN bagi mendapatkan pandangan serta mencari jalan penyelesaian yang baik.

Kepemimpinan di peringkat PPD dan JPN pula perlu mempunyai pegawai perhubungan awam yang mempunyai kepakaran dalam menyelesaikan sesuatu isu.

Jika isu boleh diselesaikan di peringkat sekolah adalah lebih baik. Bagi memantapkan kepemimpinan sekolah, maka PPD dan JPN perlu memastikan calon pentadbir yang dilantik mempunyai reputasi baik dengan pihak ibu bapa sebelum dilantik sebagai pemimpin.

Begitu juga pelantikan pegawai PPD dan JPN perlu dibuat dalam kalangan calon berkelayakan. Perkara kedua adalah memastikan prosedur operasi standard (SOP) bagi setiap tindakan dan pelaksanaan dipatuhi oleh guru.

Perkara ketiga adalah mewujudkan komunikasi dan perbincangan baik antara ibu bapa dan pentadbir sekolah tanpa menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan mana-mana pihak.

Ini memerlukan kebolehan pengerusi dan jawatankuasa PIBG untuk menjadi penghubung dalam menyelesaikan isu berbangkit.

Justeru, semua pihak perlu memastikan jalinan kerjasama antara sekolah dan ibu bapa perlu diperkemaskan bagi memastikan segala isu dapat ditangani dengan tenang. – UTUSAN

DR. ZURAIMY ALI, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya