Pendidikan negara tidak boleh sekejap hebat, sekejap merisaukan - Utusan Malaysia

Pendidikan negara tidak boleh sekejap hebat, sekejap merisaukan

KEMENTERIAN Pendidikan mengesahkan kualiti sistem pendidikan negara adalah setanding dengan pentaksiran antarabangsa, namun minat untuk menyambung pengajian bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sangat rendah. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KELMARIN Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan seramai 91.6 peratus calon berjaya memperoleh kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) (minimum lulus Bahasa Malaysia dan Sejarah) kali pertama melebihi 90 peratus, satu catatan sejarah pendidikan negara.

Pencapaian Gred Purata Nasional (GPN) SPM 2022 lebih baik, iaitu 4.75 berbanding 4.86 pada 2021. Seramai 10,109 pelajar memperoleh A bagi semua mata pelajaran. Secara umumnya, keputusan SPM 2022 menunjukkan pencapaian pendidikan negara yang lebih baik.

KPM turut mengesahkan kualiti sistem pendidikan negara adalah setanding pentaksiran antarabangsa. Saban tahun kita dimaklumkan pendidikan negara lebih baik, semakin meningkat.

Sebaliknya pula, di awal 2023, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan 170,000 murid di akhir sekolah rendah tidak mahir membaca. Sekitar 5.8 peratus (1.9 juta) rakyat Malaysia tidak pernah bersekolah.

Penghujung Mei lalu, Malaysia digemparkan dengan laporan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bahawa hampir 50 peratus (180,680 pelajar) lepasan SPM 2021 tidak berminat menyambung pengajian.

Minat untuk menyambung pengajian yang sangat rendah merisaukan kerana kini hanya 28 peratus tenaga kerja adalah pekerja mahir (umumnya berpendidikan tinggi), jauh lebih rendah berbanding purata bagi beberapa negara maju, iaitu sekitar 53 peratus.

Di peringkat pengajian tinggi, agensi penarafan antarabangsa, QS melaporkan, kedudukan universiti-universiti Malaysia semakin meningkat. Malaysia mempunyai universiti bertaraf dunia. Semua universiti penyelidikan kita mencatat peningkatan dalam penarafan dunia.

Laporan Bank Dunia, Aiming High pada 2021 memberi rumusan sebaliknya, Malaysia berhadapan cabaran dalam menyediakan modal insan berkualiti. Pencapaian pendidikan Malaysia agak terkebelakang berbanding negara-negara maju.

Dalam konteks daya saing global, kita ketinggalan. Berdasarkan penarafan daya saing global oleh Institut Pengurusan Pembangunan (IMD), kualiti bakat negara saban tahun semakin merudum.

Pada 2013, Malaysia berada pada tangga ke-14 terbaik di dunia. Terkini, kita merudum jatuh ke tangga 36. Rumusan berkecamuk di atas sangat mengelirukan.

Di mana sebenarnya status kualiti pendidikan negara kita? Kita tidak boleh berterusan begini. Sekejap hebat, membanggakan serta menggembirakan dan sekejap risau, merunsingkan serta menggerunkan.

Penyediaan bakat berkualiti adalah antara perkara terpenting yang perlu kita pastikan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

Kita harus sepakat di mana kita hari ini. Sematlamat ke mana hendak kita tuju untuk membangunkan Malaysia Madani. – UTUSAN

PROFESOR TAN SRI DR. NOOR AZLAN GHAZALI, Pengarah Institut Pembangunan & Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya