Utamakan keselamatan pekerja ulang alik ke tempat kerja

Utamakan keselamatan pekerja ulang alik ke tempat kerja

NEGARA Barat sudah meletakkan tanggungjawab menjaga aspek keselamatan dan kesihatan pekerja pada bahu pihak majikan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ISU keselamatan dan kesihatan setiap pekerja perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak terutamanya majikan seperti yang telah jelas termaktub dibawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994 (Akta 514). Perlu ditekankan aspek penjagaan keselamatan dan kesihatan para pekerja tidak hanya meliputi ditempat kerja sahaja malah aspek keselamatan dan kesihatan ketika seseorang pekerja itu berulang alik ke tempat kerja.

Walaupun tiada undang-undang khusus mengenai perkara ini dalam negara kita pada ketika ini, namun pihak majikan tidak boleh lepas tangan kerana ia melibatkan nyawa pekerja mereka sendiri, reputasi majikan, syarikat atau organisasi secara keseluruhannya.

Pada awal Februari lalu, media mendedahkan terdapat kira-kira 60,000 laporan kes kemalangan meliputi kemalangan di tempat kerja, kemalangan dalam perjalanan pergi dan pulang dari tempat kerja serta penyakit khidmat yang diterima Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) setiap tahun.

Pada 2022, sebanyak 64,168 kes kemalangan dilaporkan kepada Perkeso dan daripada jumlah itu, sebanyak 35,015 kes adalah kemalangan industri atau kemalangan di tempat kerja manakala 29,153 kes adalah kemalangan perjalanan dan berulang-alik ke tempat kerja.

Sepanjang tempoh tersebut seramai 864 pekerja maut dengan kemalangan industri menjadi punca kepada 255 kematian manakala kemalangan perjalanan telah menyebabkan 609 pekerja maut, iaitu meningkat daripada 525 pekerja yang maut akibat nahas jalan raya pada 2021.
Jika teliti data ini, kita dapat lihat secara purata hampir dua pekerja terkorban setiap hari akibat kemalangan perjalanan.

Justeru, semua pihak harus memberi kerjasama bagi mengatasi masalah kemalangan yang berlaku ketika berulang alik dari tempat kerja. Beberapa buah negara khususnya negara Barat sudah meletakkan tanggungjawab menjaga aspek keselamatan dan kesihatan pekerja pada bahu pihak majikan dalam perkara ini. Sekiranya seseorang pekerja menjalankan tugas hakiki di lapangan atas arahan pihak majikan, maka majikan perlu memastikan pekerja berkenaan berada dalam keadaan selamat dan tidak terdedah dengan risiko yang boleh membawa mudarat.

Secara realitinya, amat sukar untuk majikan memastikan keselamatan setiap pekerja yang berulang alik ke tempat kerja. Kadang kala kemalangan yang berlaku di atas jalan raya adalah diluar kawalan mereka. Walaupun begitu, majikan perlu sekurang-kurangnya menyediakan satu bentuk polisi, prosedur serta program penerangan, latihan dan pendidikan yang mencukupi kepada setiap pekerja untuk lebih berhati-hati ketika bekerja serta ketika berulang alik ke tempat kerja.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya